
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu, berkata bagaimanapun perkara itu perlu merujuk kepada lunas undang-undang dan bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kalau kita boleh buat, kita akan buat.
“Contohnya (kasino) di Genting Highland kemungkinan kuasa itu tidak mutlak kepada kita, perlu persekutuan sekali, maka itu mungkin kita tak boleh buat,” katanya pada sidang media sempena Muktamar PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur.
Andansura yang juga Adun Beserah berkata demikian ketika ditanya berhubung perkara itu bagi mengikuti langkah kerajaan PAS di Kelantan, Terengganu, dan Kedah.
Pada PRU15, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing menang 17 daripada 42 kerusi DUN Pahang, manakala Pakatan Harapan (PH) lapan. Bagaimanapun, BN-PH bergabung untuk meraih majoriti mudah menubuhkan kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Andansura berkata sekiranya PAS menang di Pahang, sudah tentu perkara memudaratkan masyarakat akan diambil tindakan.
Beliau berkata, tindakan itu haruslah diambil berdasarkan undang-undang.
“Ini termasuklah judi yang sebenarnya kita ambil tindakan itu bukan sekadar untuk orang Islam sahaja. Orang Buddha ke orang Kristian, semua tak membenarkan judi. Maka tidak ada alasan agama dalam isu itu,” katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabbar, berkata jika menang Pahang tiada masalah menutup premis judi.
Bagaimanapun, beliau berkata jika premis judi di Genting agak sukar kerana bertaraf kasino.
“Kasino ini, kita perlu melihat dari sudut undang-undang. Apakah pihak negeri mampu untuk menutup. Kalau kita mampu, kita tutup,” katanya.