Dakwaan kematian pakar angkara buli, Dzulkefly seru siasatan

Dakwaan kematian pakar angkara buli, Dzulkefly seru siasatan

Menteri kesihatan ulas laporan berita berhubung kematian seorang pakar perubatan di hospital Sabah.

Dr Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, berkata beliau kekal berpegang teguh dengan dasar tidak bertolak ansur terhadap buli.
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad menyeru siasatan dilakukan terhadap kematian seorang pakar di hospital Sabah, yang didakwa ahli keluarga mempunyai banyak persoalan belum terjawab.

“Saya tidak bertolak ansur terhadap buli sejak 2018 dan kekal berpegang teguh dengan dasar itu,” katanya dalam catatan di X. Dzulkefly pernah berkhidmat sebagai menteri kesihatan pada Mei 2018 hingga Februari 2020.

“Semua kakitangan kementerian berhak mendapat persekitaran kerja selamat dan adil.”

Dzulkefly berkata demikian sebagai maklum balas laporan berita kematian seorang pakar pada 29 Ogos, hanya selepas enam bulan beliau lapor diri sebagai ketua unit patologi kimia di hospital terbabit.

Awal hari ini, Senator Dr RA Lingeshwaran menggesa pihak kementerian menyiasat kematian tersebut selepas membaca hantaran Facebook milik adik perempuan doktor itu.

Katanya, hantaran mengaitkan ia kejadian buli berkemungkinan menjadi punca, sambil menambah menteri kesihatan dan ketua pengarah mesti menangani dakwaan dibangkitkan memandangkan ia tular di media sosial.

Dalam catatan semalam, adik perempuan mangsa berkata, doktor terlatih di Rusia pada 2013 itu menamatkan pengajian sarjana dalam bidang patologi kimia tahun lalu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Adik mangsa berkata, semua ahli keluarga masih terkejut selepas dimaklum pihak hospital kakaknya telah meninggal dunia pada 29 Ogos, hanya enam bulan selepas kakaknya melapor diri.

“Masalah berkaitan tekanan dan buli di tempat kerja berlaku dan ia perkara serius. Kehilangannya bukan sahaja sekadar tragedi peribadi, tetapi mencerminkan sistem penjagaan kesihatan sedia ada,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.