Konsep pintar, digital lancar operasi hospital UMS

Konsep pintar, digital lancar operasi hospital UMS

Zambry Abdul Kadir berkata Hospital Universiti Malaysia Sabah dijangka beroperasi pada Januari 2026.

Zambry Abd Kadir meninjau perkembangan pembinaan projek Hospital Universiti Malaysia Sabah di Kota Kinabalu.
PETALING JAYA:
Konsep pintar dan penggunaan sepenuhnya sistem digital akan melancarkan operasi Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) yang bakal beroperasi Januari 2026, kata Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir.

Zambry berkata hospital dijangka siap Disember 2025 itu bakal mempunyai kapasiti 400 katil, 25 bilik pembedahan, 40 katil rawatan intensif/rapi dan 145 buah klinik pakar.

“Hospital ini berkonsepkan hospital pintar dan keseluruhan operasinya menggunakan sistem digital maklumat hospital lengkap.

“HUMS akan menjadi pusat pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar perubatan dan kejururawatan, penyelidikan perubatan dan sains kesihatan, serta menawarkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan.

Zambry turut mengadakan lawatan bagi melihat kemajuan perkembangan projek itu yang taklimatnya diberikan Pengarah HUMS Dr Malehah Mohd Noh.

Menurut Zambry, antara perkhidmatan ditawarkan termasuklah khidmat rundingan dan rawatan doktor pakar, kecemasan dan trauma selama 24 jam, bilik suit angiogram, pengimejan resonan magnetik (MRI) dan mesin pengimbas tomografi berkomputer (CT-Scan).

Sepuluh katil wad isolasi komprehensif, 58 katil rawatan pesakit harian dan 40 kerusi rawatan hemodialisis.

“Dengan beroperasinya HUMS ini, ia bakal mempertingkatkan mutu pendidikan dan latihan perubatan serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi untuk masyarakat setempat .

“Ia turut meningkatkan fiskal pendapatan serta ekonomi rakyat khususnya dalam sektor pekerjaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.