‘Counter setting’: Imigresen ikrar kerjasama penuh kepada SPRM, polis

‘Counter setting’: Imigresen ikrar kerjasama penuh kepada SPRM, polis

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai tanpa mengira pangkat atau kedudukan yang menyalahgunakan kuasa.

azam baki
Semalam, Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mendedahkan seorang pegawai kanan imigresen dipercayai menjadi dalang utama sindiket membawa masuk warga asing melalui ‘laluan kaunter khas’ di Terminal 2 KLIA. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berikrar memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa lain susulan penahanan 49 pegawainya disyaki bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban menegaskan pihaknya tidak akan akan berkompromi dengan mana-mana pegawai tanpa mengira pangkat atau kedudukan yang menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi yang melanggar undang-undang negara.

“Jabatan komited untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM, polis dan lain-lain agensi terlibat berhubung tindakan lanjut susulan penahanan 49 pegawai imigresen berkaitan ‘counter setting’,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mendedahkan seorang pegawai kanan imigresen dipercayai menjadi dalang utama sindiket membawa masuk warga asing melalui ‘laluan kaunter khas’ di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, suspek yang bertugas 20 tahun dalam pasukan penguat kuasa itu dikatakan menjadi dalang dengan mengawal 50 pegawai lain untuk menjalankan operasi sindiket.

Dalam Op Setting sejak bulan lalu, SPRM menahan 60 individu termasuk 49 penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), seorang polis dan 10 ejen sindiket.

Hasil serbuan, Azam berkata hampir RM800,000 wang tunai dijumpai di bilik tidur dua pegawai imigresen Gred KP22 dan Gred KP19 yang terlibat dalam sindiket ‘counter setting’.

Sementara itu, Zakaria berkata pihaknya juga mengambil maklum laporan 11 kelemahan utama yang membuka ruang kepada sindiket membawa masuk warga asing.

“JIM telah meneliti dan mengambil tindakan reformasi proses kerja dan penyampaian perkhidmatan secara menyeluruh dengan mengambil kira teguran dan cadangan penambahbaikan yang diberikan dalam masa terdekat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.