UMT tubuh pusat pacu pembangunan ekonomi biru

UMT tubuh pusat pacu pembangunan ekonomi biru

Pengerusi Lembaga Pengarah UMT Mohamad Salmi Mohd Sohod berkata lautan Malaysia kaya dengan pelbagai sumber yang perlu dibangunkan secara lestari.

Mohamad Salmi Mohd Sohod (tengah) melancarkan Pusat Pemajuan Ekonomi Biru Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Putrajaya, hari ini. (Gambar UMT)
PETALING JAYA:
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam sektor ekonomi biru menerusi penubuhan Pusat Pemajuan Ekonomi Biru.

Pengerusi Lembaga Pengarahnya Mohamad Salmi Mohd Sohod berkata pusat itu diharap dapat memanfaatkan potensi lautan Malaysia yang kaya dengan sumber kerana kedudukan unik meliputi 4,600 kilometer garisan pantai dan kawasan maritim.

Menurutnya, aktiviti perikanan, akuakultur, pelancongan, minyak dan gas, perkapalan, tenaga laut boleh diperbaharui dan isu berkait ‘blue carbon credit’ termasuk dalam ekonomi biru yang kini menjadi sebahagian agenda pembangunan negara.

“Pengurusan lestari kunci membuka pertumbuhan jangka panjang, malah peningkatan pengiktirafan global terhadap ekonomi biru berasaskan kepada pemahaman mendalam.

“Dan konsep pembangunan berasaskan kelestarian bagi menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG): lautan kita bukan sekadar sumber untuk dieksploitasi; ia adalah sebuah ekosistem yang perlu dijaga,” katanya dalam kenyataan.

Pusat itu dilancarkan pada sesi perbincangan meja bulat ekonomi biru di Putrajaya yang bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Ekonomi Melalui Ekonomi Biru di Malaysia’.

Sesi itu dihadiri sekumpulan pemikir, pembuat dasar, penyelidik dan pihak berkepentingan dari pelbagai sektor bagi mengumpul pandangan berhubung pembangunan ekonomi biru secara lestari.

Naib Canselor UMT Mohd Zamri Ibrahim dalam ucapanya pula berkata penubuhan Pusat Pemajuan Ekonomi Biru bukan hanya mencerminkan komitmennya terhadap bidang itu namun kesungguhan mempelopori bidang sains marin itu dalam menyokong agenda pembangunan mampan negara.

“Ekonomi biru merangkumi pemanfaatan sumber laut secara lestari sambil mengekalkan tanggungjawab terhadap kelestarian ekosistem marin.

“UMT mempunyai lebih 200 pakar penyelidik dalam pelbagai aspek ekonomi biru serta dua institut diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) iaitu Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) dan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP)” katanya.

Beliau turut membayangkan Institut Adaptasi Iklim dan Bioteknologi Marin (ICAMB) juga akan mendapat pengiktirafan sama dalam masa terdekat.

Turut dimeterai kerjasama strategik antara UMT, Institut Maritim Malaysia (MIMA), PLANMalaysia dan Sekretariat Sabah Maju Jaya dalam melaksanakan dasar ekonomi biru melalui pengurusan marin dan pantai mampan.

Dua penerbitan penyelidikan berkaitan ekonomi biru telah dilancarkan melalui buku pertama hasil kerjasama antara UMT dan MIMA yang menyorot pandangan sektor maritim terhadap ekonomi biru.

Buku kedua pula diterbitkan hasil usahasama strategik antara UMT dan Jabatan Perikanan Malaysia bagi memberi fokus kepada data ekologi marin Malaysia.

“Usaha ini dijangka bukan sahaja membuka peluang pekerjaan baharu, tetapi juga melindungi ekosistem marin semakin terancam akibat perubahan iklim dan pencemaran laut semakin meruncing,” kata Mohd Zamri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.