
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, berkata pencalonan itu melibatkan manuskrip siri (MSS 1292) merangkumi kaedah perubatan tradisional Melayu dan keputusan pencalonan dijangka diumumkan tahun depan.
“Semoga pencalonan ini membuahkan hasil dan manuskrip Melayu kitab tib akan dimartabatkan warisan dunia, sama-sama kita doakan,” katanya dalam ucapan Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Antarabangsa Manuskrip Melayu (PAMM) 2024 di sini.
Teks ucapannya dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Hasnol Zam Zam Ahmad.
Aaron berkata, kitab tib yang turut dikenali kitab ubat atau kitab perubatan merupakan warisan budaya penting dalam mencerminkan kehebatan ilmu pengetahuan serta tradisi perubatan Melayu diwarisi turun-temurun.
“Kebanyakan kitab tib yang ditemui hari ini ditulis sekitar abad ke-19 dan 20 Masihi. Penulisan ilmu tib Melayu tidak hanya berbentuk khusus, tetapi wujud dalam pelbagai genre seperti sastera hikayat dan bidang ilmu ketatanegaraan seperti Sejarah Melayu dan Hukum Kanun Melaka.
“Kitab tib bukan sahaja boleh ditemui di Malaysia, malah naskhah ilmu perubatan tradisional ini turut terdapat di negara lain seperti di Leiden, Belanda, United Kingdom, Perancis, Indonesia, Sri Lanka dan beberapa negara Eropah lain.”
Aaron berkata, pada 2012, dua kitab tib koleksi PNM didaftarkan warisan kebangsaan objek tidak ketara di bawah kategori warisan bahasa dan persuratan oleh Jabatan Warisan Negara.
Katanya, PNM juga giat menjalankan kajian dan transliterasi, iaitu proses alih aksara tulisan jawi ke tulisan rumi, termasuk Projek Pendokumentasian Secara Komprehensif Pengetahuan Tradisi Melayu berkaitan Tumbuhan Ubatan di Semenanjung, iaitu projek inisiatif Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM) sejak 2013.
Menurutnya, empat kitab tib koleksi PNM ditransliterasi dan diterbitkan, manakala sebuah lagi kitab tib koleksi PNM akan ditransliterasi tahun ini.
“Hari ini, kita akan menyaksikan PNM mengambil inisiatif dengan menyediakan penerbitan Bibliografi Kitab Tib Beranotasi secara dalam talian yang mengandungi 112 deskripsi kitab tib koleksi PNM serta maklumat lain yang boleh dijadikan sumber rujukan bagi tujuan kajian dan penyelidikan.”
Dalam pada itu, Aaron berkata, PNM memainkan peranan penting dalam tadbir urus, pemeliharaan dan pemuliharaan manuskrip Melayu serta menjadi pusat repositori manuskrip Melayu terbesar di rantau ini dengan jumlah koleksi sebanyak 5,252 judul.
Beliau berkata, Kementerian Perpaduan Negara menerusi PNM melaksanakan pelbagai inisiatif program, termasuk inisiatif persepakatan pintar dengan pelbagai pihak demi memartabatkan dan melestarikan manuskrip Melayu, antaranya Projek Pengesanan Manuskrip Melayu di dalam dan luar negara serta Pendigitalan Koleksi Khazanah Warisan Negara.
“Menjadi harapan saya agar persidangan ini menjadi wahana perkongsian ilmu berprestij serta dapat meningkatkan pengetahuan dan apresiasi masyarakat terhadap manuskrip Melayu, khazanah warisan intelek negara yang tinggi nilai ilmunya.”
Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu ke-7 dengan tema Kitab Tib: 1,001 Rahsia Ilmu Perubatan Tradisional anjuran PNM berlangsung hari ini dan esok.