Suspek kes bunuh pereka dalaman dituduh esok

Suspek kes bunuh pereka dalaman dituduh esok

Pada 16 Sept lepas, media melaporkan seorang pereka dalaman ditemukan meninggal dunia dengan 20 kesan tikaman.

Shahrulnizam Ja’afar
Suspek kes bunuh seorang pereka dalaman yang ditikam 20 kali akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kata Ketua Polis Petaling Jaya Shahrulnizam Ja’afar. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Suspek kes bunuh seorang pereka dalaman yang ditikam 20 kali di sebuah pangsapuri di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 15 Sept lepas akan didakwa di Mahkamah Petaling Jaya esok.

Ketua Polis Petaling Jaya Shahrulnizam Ja’afar berkata lelaki berusia 50 tahun itu yang juga penganggur akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Berdasarkan siasatan, kejadian pembunuhan berkenaan berpunca apabila mangsa telah menyedari suspek memecah masuk rumah beliau untuk mencuri sebelum berlaku pergelutan yang menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan.

Pada 16 Sept lepas, media melaporkan seorang pereka dalaman berusia 36 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah unit pangsapuri di Bandar Sri Damansara dengan 20 kesan tikaman di seluruh badan termasuk tangan dan kepala.

Susulan itu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 50 hingga 61 tahun dalam serbuan di sebuah pangsapuri di ibu kota pada 3 pagi, 21 Sept lepas kerana disyaki terlibat dalam kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.