Disyaki minta suapan RM48,000 bagi gelaran Datuk Seri, bekas wartawan direman

Disyaki minta suapan RM48,000 bagi gelaran Datuk Seri, bekas wartawan direman

Wanita berusia 42 tahun itu disyaki terima rasuah daripada ahli perniagaan bagi dapat darjah kebesaran pada tahun lalu.

macc
Berlaku kemasukan wang tersebut dalam akaun peribadi menerusi puluhan transaksi sepanjang 2022-2023.
MELAKA:
Seorang wanita direman lima hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan RM48,000 daripada seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan darjah kebesaran Melaka, pada tahun lalu.

Perintah reman terhadap suspek yang merupakan bekas ahli sebuah NGO berusia 42 tahun itu dikeluarkan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri.

Menurut sumber, wanita itu yang pernah bertugas sebagai wartawan disyaki menerima wang rasuah daripada ahli perniagaan berkenaan sebagai balasan bagi mendapatkan darjah kebesaran Datuk Seri, sempena Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran negeri pada 2023.

“Siasatan awal juga mendapati wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dari 2022 hingga 2023 dan terdapat puluhan transaksi kemasukan wang ke dalam akaun miliknya itu sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, wanita itu ditahan di Pejabat SPRM Melaka pada 3.45 petang semalam, selepas diminta hadir bagi memberi keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a) (A) SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.