
Jurucakap kerajaan perpaduan itu berkata, kapal perang dari negara lain seperti Australia, Amerika Syarikat, China, India dan destinasi lain akan berlabuh di pelabuhan Malaysia, namun semuanya mengikut protokol dikendalikan Wisma Putra dan dalam pengetahuan Kementerian Pertahanan.
“Memang dari semasa ke semasa, kapal perang dari Australia, AS, China malah dari India memang akan berlabuh. Sering kali menuju satu destinasi lain dan akan berlabuh untuk beberapa hari.
“Dalam waktu mereka (kapal) berlabuh itu biasanya kedutaan atau pewakilan asing bagi negara tersebut akan berhubung untuk melakukan beberapa aktiviti dan niatnya untuk mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini.
Turut hadir Timbalan Menterinya Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Fahmi berkata, beliau kesal dengan sikap segelintir warganet cuba menggunakan sentimen perkauman dan kebencian dalam isu berkenaan.
“Polis dan SKMM meneliti perkara ini dan akan mengambil tindakan terhadap mereka (warganet), terutama yang menyebarkan maklumat palsu, bukan hanya lawatan (kapal perang), tapi sebarang perkara sekalipun.”
Menurutnya, ada warganet cuba memaparkan perkara tidak benar berhubung kehadiran kapal tentera China.
“Kita mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan sejumlah negara dan semua negara ini, sekiranya kapal-kapal perang mereka berlabuh sementara di pelabuhan Malaysia (adalah) mengikut protokol sedia ada.”
Semalam, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai dilaporkan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kunjungan dua kapal tentera dari China bersama pelajar Naval University of China ke Pelabuhan Pulau Pinang, Sabtu lepas.
Pengerusi Biro Antarabangsa Bersatu, Saifuddin Abdullah pula dilaporkan berkata, sambutan meriah terhadap dua kapal tentera laut China yang berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang itu disifatkan “tidak masuk akal”, terutama ketika timbul dakwaan perairan Malaysia di Sabah dan Sarawak dicerobohi aset republik berkenaan.