
Menurut laporan laman sesawang World Population Review dipetik Sinar Harian, populasi Malaysia seramai 32.37 juta orang kini, dianggarkan mencecah 42.07 juta orang pada 2068.
Laporan itu menyatakan telur antara sumber nutrisi paling digemari masyarakat seluruh dunia, dengan China dan Jepun mendahului senarai penggunaan telur tertinggi di dunia.
“Jepun menjadi negara penggunaan telur tertinggi kerana rata-rata penduduknya makan sekitar 320 telur setiap tahun atau sebiji telur sehari.
“Walaupun Jepun tidak menghasilkan banyak telur, ia salah satu pengimport terbesar dan produknya. Telur memainkan peranan penting dalam masakan Jepun seperti ramen, nasi dan pastri tradisional.”
Di China, telur menjadi sumber protein sangat popular walaupun ekonomi negara itu berkembang pesat disebabkan harganya lebih murah daripada sumber protein lain.
Menurut laporan itu, kerajaan China memantau pengeluaran telur untuk memastikan harga tetap rendah supaya semua lapisan masyarakat dapat mengakses sumber protein itu pada harga berpatutan.
“Dianggarkan penduduk China makan lebih daripada 31,000,000 tan telur pada 2021. Bagaimanapun, rekod penggunaan telur di China iaitu 21.97kg setahun dikalahkan wilayah pentadbiran khasnya.
“Pertama ialah Hong Kong dengan jumlah penggunaan 26.19kg per kapita, manakala Macau 23.04kg per kapita. Negara seterusnya paling hampir ialah Mexico (21.26kg per kapita) dan Jepun (19.59kg per kapita).”
Amerika Syarikat (AS) pula mencatatkan penggunaan telur tinggi, tetapi tidak berada di kedudukan teratas per kapita dan ada banyak negara menggunakan lebih banyak telur dalam menu harian berbanding AS.
Tetapi, telur tetap pilihan popular di AS dan digunakan dalam pelbagai hidangan seperti rebusan, makanan bakar dan salad, termasuk menu utama sarapan pagi.
Laporan itu turut mendedahkan walaupun Paraguay negara kecil, ia mencatatkan penggunaan telur tertinggi, dengan kira-kira 310 biji telur setiap tahun per kapita kerana penduduknya sering menjadikan telur rebus sebagai snek, dimasukkan dalam salad serta pencuci mulut.
“Namun, populariti telur mencetuskan kebimbangan mengenai peningkatan kolesterol dalam kalangan penduduk serta kenaikan ketara harga telur.”
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu mengumumkan kerajaan akan mengkaji semula pemberian subsidi telur ayam gred A, B dan C, jika bekalan kembali pulih serta stabil.
Kerajaan mengumumkan harga telur gred A, B dan C diturunkan tiga sen sebiji di seluruh negara mulai 17 Jun lalu, ia perlu menanggung subsidi 10 sen bagi sebiji telur membabitkan perbelanjaan RM100 juta.