Persatuan penternak jangka harga tak naik drastik jika tamat subsidi telur

Persatuan penternak jangka harga tak naik drastik jika tamat subsidi telur

Persatuan Penternak Ayam Selangor berkata jika subsidi dihentikan kerajaan, harga telur mungkin naik sekitar 2 hingga 3 sen sebiji.

Persatuan Penternak Ayam Selangor berkata, bekalan telur di pasaran kini stabil dan permintaan juga konsisten, sekali gus mengurangkan keperluan mengimport telur dari luar negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Penternak Ayam Selangor menjangkakan penamatan subsidi telur ayam yang sedang dipertimbangkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tidak akan mengakibatkan perubahan harga telur secara drastik.

Timbalan Pengerusinya, Idrus Zainal Abidin, berkata penghapusan subsidi mungkin tidak memberi impak terlalu besar, namun akan ada kesan ke atas kos operasi, tetapi di tahap minimum.

Menurutnya, meskipun subsidi dikurangkan atau dihapuskan, kenaikan harga telur di pasaran mungkin tidak terlalu tinggi.

“Kenaikan harga mungkin hanya sekitar 2 hingga 3 sen sebiji kerana subsidi yang kami terima pun tidak terlalu besar,” katanya ketika dihubungi FMT.

Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu mengumumkan kerajaan akan mengkaji semula pemberian subsidi telur ayam gred A, B dan C, jika bekalan kembali pulih serta stabil.

Beliau dilaporkan berkata, langkah menamatkan subsidi itu wajar dipertimbangkan berdasarkan kejayaan menamatkan subsidi ayam yang memberi penjimatan RM100 juta sebulan untuk membolehkan tumpuan diberikan bagi membangunkan sektor agromakanan lebih mendesak.

Idrus berkata, bekalan telur di pasaran kini stabil dan permintaan juga konsisten, sekali gus mengurangkan keperluan mengimport telur dari luar negara.

“Dari sudut pandang saya sebagai pengguna, bekalan telur stabil dan sebagai penternak, saya rasa momentumnya dari segi permintaan juga konsisten setakat ini, bekalan kita cukup, tiada keperluan lagi untuk import, kalau ada pun sikit saja.”

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan harga telur gred A, B dan C diturunkan tiga sen sebiji di seluruh negara mulai 17 Jun lalu. Ini bermakna kerajaan perlu menanggung subsidi 10 sen bagi sebiji telur yang membabitkan perbelanjaan RM100 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.