
Fadhlina berkata, sekolah Cina di Air Itam itu mengambil langkah membuat laporan bagi menyangkal dakwaan palsu itu.
Menurutnya, kumpulan yang melawat sekolah itu terdiri daripada penuntut universiti dari China, bukan anak kapal tentera laut China seperti yang didakwa.
Lawatan itu sebahagian daripada program pertukaran budaya dan sukan untuk menandakan 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, jelasnya.
Fadhlina berkata, acara yang melibatkan 165 pensyarah dan penuntut Universiti Kejuruteraan Laut China itu telah mendapat kebenaran yang diperlukan daripada pihak berkuasa.
“Dakwaan bahawa pegawai tentera laut (dan anak kapal) China mengunjungi sekolah itu tidak betul sama sekali. Acara itu merupakan acara pertukaran budaya membabitkan penuntut universiti dan sekolah Cina tempatan.
“(Dakwaan palsu itu) barangkali telah memberikan salah faham yang banyak dalam masyarakat,” katanya kepada pemberita di Seberang Perai.
Awal hari ini, Ahli Parlimen Perikatan Nasional Saifuddin Abdullah mempersoalkan sambutan mesra terhadap dua kapal tentera laut China yang berlabuh di Pulau Pinang Sabtu lepas, di tengah-tengah kebimbangan berterusan mengenai kegiatan negara itu di zon maritim Malaysia.
Beliau juga mengkritik tindakan membenarkan anak kapal China itu melawat sebuah sekolah, dan bertanya mengapa sekolah itu dipilih.
Saifuddin, yang berkhidmat sebagai menteri luar semasa pentadbiran Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan harus lebih peka dan prihatin terhadap sentimen awam.
Dua kapal tentera laut China itu – Qi Jiguang dan JingGangShan – berlabuh di Pulau Pinang pada Sabtu dalam lawatan muhibah selama tiga hari bertujuan meningkatkan saling kepercayaan antara tentera laut China dan Malaysia.
Media melaporkan anak-anak kapalnya melawat sebuah sekolah menengah swasta di Pulau Pinang, selain membuat kunjungan hormat kepada beberapa pegawai tempatan.
Anak-anak GISBH dalam keadaan baik
Dalam perkembangan berasingan, Fadhlina berkata, kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan susulan tindakan keras terhadap Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) berada dalam keadaan baik.
Menurutnya, kanak-kanak dan remaja itu sedang mengikuti kelas bawah program pendidikan khas yang disediakan kementerian.
Mereka kini berada bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan pantauan pihak berkuasa pendidikan, tambahnya.