Mohd Khamil dilantik pengerusi Lembaga Pengarah UiTM

Mohd Khamil dilantik pengerusi Lembaga Pengarah UiTM

Mohd Khamil Jamil, bekas pengarah urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) akan memegang jawatan itu selama tiga tahun berkuat kuasa semalam.

Mohd Khamil Jamil pernah menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi Lembaga Pengarah dan pro-canselor DRB-HICOM University of Automotive Malaysia. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas pengarah urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) Mohd Khamil Jamil dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) selama tiga tahun berkuat kuasa semalam.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan berkata Khamil bukan figura baharu dalam dunia pengajian tinggi kerana pernah menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi Lembaga Pengarah dan pro-canselor DRB-HICOM University of Automotive Malaysia.

“Beliau juga pernah dilantik sebagai pro-canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dari 2013 hingga 2014 dan ahli Lembaga Pengarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dari 2014 hingga 2016.

“Kementerian yakin dengan pelantikannya sebagai pengerusi Lembaga Pengarah UiTM akan dapat meningkatkan tadbir urus profesional UiTM menerusi perencanaan baharu melibatkan pelbagai sektor berkepentingan bagi memperkukuh UiTM agar lebih berdaya saing sebagai sebuah universiti komprehensif di Malaysia,” katanya.

Mohd Khamil memegang jawatan pengarah urusan DRB-Hicom selama 10 tahun dari 2006.

Beliau seterusnya dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif DRB Hicom, Pos Malaysia Berhad dan Proton Holdings Berhad dari 2016 hingga 2018.

Sementara itu, KPT turut merakamkan penghargaan kepada Raduan Che Rose atas sumbangannya menerajui UiTM bermula 15 Feb tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.