Remaja hamil luar nikah, KPM terap kesihatan reproduktif pada 2027

Remaja hamil luar nikah, KPM terap kesihatan reproduktif pada 2027

Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) itu telah mendapat persetujuan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Fadhlina Sidek-
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata kementerian mahu memberikan tumpuan penuh kepada agenda pendidikan terkait rapat dengan kesihatan reproduktif.
GEORGE TOWN:
Kementerian Pendidikan (KPM) akan menggunakan modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) dalam Kurikulum Persekolahan 2027 bagi menangani isu kehamilan melibatkan remaja yang semakin meningkat.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata perkara itu telah mendapat persetujuan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama rentas kementerian bagi menangani isu berkenaan.

“Keprihatinan kita (KPM) sama dengan KPWKM apabila kita bercakap tentang soal kehamilan di luar nikah, kita memberikan tumpuan penuh kepada agenda-agenda pendidikan khususnya yang terkait rapat dengan kesihatan reproduktif.

“Begitu juga dari semasa ke semasa, kita jalankan program berkaitan advokasi yang terkait rapat dengan isu-isu kesihatan reproduktif termasuk program bersama-sama KPWKM bagi menangani isu gangguan seksual, isu kesihatan gadis, sentuhan selamat, dan tidak selamat yang masih lagi kita laksanakan di peringkat KPM,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Universiti Sains Malaysia (USM) Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Week 2024 di USM.

Fadhlina berkata, KPM akan memberikan tumpuan khususnya berkaitan dengan modul PEERS supaya guru dan murid diperkasakan dari segi maklumat serta advokasi berkaitan isu berkenaan.

PEERS diajar melalui kurikulum Pendidikan Kesihatan bermula peringkat prasekolah hingga sekolah menengah dan murid dilengkapi dengan maklumat serta kemahiran khususnya kecekapan psikososial untuk membuat ‘informed decisions’ dalam kehidupan harian.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri menyuarakan kebimbangan mengenai isu kehamilan remaja, perkahwinan bawah umur, pembuangan bayi, dan pengguguran tidak selamat di negara ini.

Nancy berkata, berdasarkan data Kementerian Kesihatan 44,263 kes kehamilan remaja telah direkodkan sejak lima tahun lalu, dan daripada jumlah itu 17,646 melibatkan remaja belum berkahwin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.