Pertikaian sewa tapak, caj elektrik menara telekomunikasi 1BestariNet belum selesai

Pertikaian sewa tapak, caj elektrik menara telekomunikasi 1BestariNet belum selesai

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata walaupun projek perkhidmatan 1BestariNet tamat pada 30 Jun 2019, dua isu berkenaan belum diselesaikan.

Wong Kah Woh berkata KPM sedang memuktamadkan cadangan penyelesaian berhubung kadar sewaan tapak dan caj elektrik menara telekomunikasi 1BestariNet. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Penyelesaian berhubung kadar sewaan tapak dan caj elektrik menara telekomunikasi 1BestariNet melibatkan 2,748 struktur menara masih gagal diselesaikan walaupun kontraknya telah tamat pada Jun 2019.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata sebelum ini rundingan telah dijalankan namun tertangguh kerana YTL Communications, pemilik projek itu memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap kerajaan.

Bagaimanapun, beliau berkata rundingan diteruskan semula selepas syarikat berkenaan menarik balik permohonan semakan itu pada 5 Okt 2021 seperti disarankan.

“Pada 17 Mac 2023, nota Jemaah Menteri berkaitan cadangan penyelesaian isu sewaan tapak dan caj elektrik menara komunikasi bagi projek 1BestariNet fasa 2 dan pasca 1BestariNet telah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri .

“Pada masa kini, KPM sedang memuktamadkan cadangan penyelesaian dan akan mengemukakan kepada Jemaah Menteri melalui memorandum Jemaah Menteri untuk menentukan hala tuju penyelesaian bagi isu ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang meminta KPM menyatakan status terkini projek 1BestariNet dan apakah tindakan undang-undang yang telah dikenakan terhadap syarikat yang telah diberikan tender tersebut.

Wong menambah setakat ini tiada sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap YTL Communications, dan menegaskan kes berkenaan masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“KPM menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk siasat perkara ini dan sedia beri kerjasama,” katanya.

September lalu, SPRM menyerbu pejabat YTL Communications Kuala Lumpur dan sebuah pejabat kerajaan dalam sebahagian siasatan terhadap tuntutan pembayaran berhubung tender perkhidmatan 1BestariNet.

Difahamkan, siasatan memfokuskan dakwaan butiran palsu berkaitan pembayaran RM2.7 bilion serta unsur jenayah lain di bawah Akta SPRM 2009.

Syarikat induk YTL Communications, YTL Power International Bhd sejak itu bertegas projek berkenaan diperakui Kementerian Pendidikan berjaya disiapkan pada akhir tempoh kontrak.

Bulan lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin akan dipanggil apabila tiba pada masanya berhubung siasatan projek 1BestariNet.

Menurutnya, Muhyiddin yang memulakan projek itu pada 2011 semasa menjadi menteri pendidikan, akan dipanggil sama seperti orang lain terbabit dalam projek berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.