Usah dakwa isu pencen usaha satu pihak sahaja, kata veteran ATM

Usah dakwa isu pencen usaha satu pihak sahaja, kata veteran ATM

Minggu lalu, Ahli Parlimen Tangga Batu Bakri Jamaluddin mendakwa kerajaan akur dengan tuntutan PN supaya kerajaan melaksanakan pelarasan pencen veteran ATM bersara sebelum 2013.

Minggu lalu, Menteri Pertahanan Khaled Nordin mengumumkan veteran ATM berpencen sebelum Januari 2013 akan turut menerima kenaikan pelarasan pencen sebanyak 15% selepas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dilaksanakan. (Gambar TUDM)
PETALING JAYA:
Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengingatkan semua pihak tidak menjadikan isu pelarasan pencen pesara tentera sebelum 2013 sebagai kepentingan politik dengan menggambarkannya seolah-olah usaha satu pihak sahaja.

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Shaharudin Omar berkata isu itu telah lama diperjuangkan pelbagai pihak termasuk wakil rakyat dari parti kerajaan, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Sebagai pemimpin politik tak seharusnya mendakwa merekalah memperjuangkannya dan kita perlu mengiktiraf mereka sahaja, (tetapi) perlu iktiraf semua pihak terlibat memperjuangkan isu veteran.

Shaharudin Omar.

“Tak kira Ahli Parlimen pembangkang, kerajaan, orang ramai, kelompok masyarakat atau NGO,” katanya kepada FMT sambil mengingatkan pengiktirafan sepatutnya diberikan rakyat yang bijak menilai.

Minggu lalu, media rasmi PAS, Harakahdaily melaporkan kenyataan Ahli Parlimen Tangga Batu Bakri Jamaluddin bahawa Kementerian Pertahanan akhirnya akur dengan tuntutan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) supaya kerajaan melaksanakan pelarasan pencen terhadap veteran ATM bersara sebelum 2013.

Wakil rakyat PAS itu berkata walaupun tuntutan tentang perkara itu telah membuahkan hasil, namun perjuangan bagi membela nasib kelompok itu belum selesai.

Media itu melaporkan selain Bakri, Ahli Parlimen PN sering membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat termasuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Shahidan Kassim (Arau).

Menteri Pertahanan Khaled Nordin pada sesi penggulungan Belanjawan 2025, 7 Nov lalu, mengumumkan veteran ATM berpencen sebelum Januari 2013 akan turut menerima kenaikan pelarasan pencen sebanyak 15% selepas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dilaksanakan.

Menurutnya, hal ini kerana pelaksanaan SSPA yang diumumkan kerajaan kepada penjawat awam sedang berkhidmat, turut melibatkan perkhidmatan ATM termasuk veteran ATM.

Mengulas lanjut, Shaharudin berharap isu veteran terus diperjuangan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat tanpa mengira blok pembangkang atau kerajaan.

“Saya mohon mereka memahami isu pokok kerana kita mohon penyelarasan pencen bagi mereka yang bersara sebelum 2013 diberi pelarasan pencen mengikut kesesuaian pengiraan kerajaan apabila kenaikan skim baru diperkenalkan Januari 2013.

“Isu itu (mereka pencen sebelum 2013) perlu diselaraskan dulu dan kemudian barulah diselaraskan pelarasan pencen diumum kerajaan dalam Belanjawan 2025,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.