Palsu dokumen kes dadah, inspektor mengaku tak salah

Palsu dokumen kes dadah, inspektor mengaku tak salah

Crall Mark Bait didakwa memalsukan dokumen berupa rakaman percakapan tiga anggota polis masing-masing berpangkat sarjan dan koperal.

gavel
Tertuduh dibenar ikat jamin RM5,300 untuk tiga pertuduhan dengan kes tarikh serahan dokumen dan pengurusan kes ditetapkan pada 2 dan 6 Jan depan. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tawau atas tiga pertuduhan memalsukan dokumen berkaitan kes dadah, pada September tahun lalu.

Tertuduh, Crall Mark Bait, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin dan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh didakwa memalsukan dokumen berupa rakaman percakapan dibuat tiga anggota polis masing-masing berpangkat sarjan dan koperal atas jawatan rasmi mereka iaitu rakaman percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah, yang telah digunakan dalam Kertas Siasatan Jenayah Narkotik Tawau JSJN/ADB/1005/23.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), IPD Tawau antara 10 pagi hingga 2.00 petang, pada 10 Sept 2023, lapor Berita Harian.

Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Berikutan pengakuan tertuduh itu, Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam menawarkan jaminan RM5,000 untuk setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin tempatan.

Tertuduh tidak diwakili peguam memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan dia kini ditahan kerja lebih setahun lalu dan hanya menerima gaji sebanyak RM700 selain menanggung keluarga dengan seorang anak yang masih kecil.

Majistret kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,300 untuk semua pertuduhan dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan 2 dan 6 Januari 2025 sebagai tarikh serahan dokumen dan pengurusan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.