Tak payah pakai perantara, menteri beritahu waris budak terkait GISBH

Tak payah pakai perantara, menteri beritahu waris budak terkait GISBH

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata sehingga kini ada 140 kanak-kanak lagi menunggu dikembalikan.

Nancy Shukri
Nancy Shukri berkata, JKM tidak akan menahan ibu bapa atau penjaga melainkan mereka mempunyai rekod kesalahan dengan polis.
KUALA LUMPUR:
Ibu bapa atau penjaga kanak-kanak terkait Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) tidak perlu bimbang bertemu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membuktikan mempunyai pertalian darah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata JKM tidak akan mengambil tindakan seperti menahan mereka, melainkan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan mempunyai rekod kesalahan dengan polis.

“Kita ambil maklum ada ibu bapa tidak berani respons atau datang awal kepada kita (untuk buktikan pertalian) kerana kebimbangan mereka akan ditangkap dan perlu membayar sejumlah kos kepada peguam yang mengendalikan kes.

“Ingin saya tegaskan, mereka boleh sahaja berhubung dan datang terus kepada JKM tanpa menggunakan sebarang pengantaraan (khidmat peguam) kerana kami kasihan melihat nasib kanak-kanak itu, yang kini hanya ada 140 kanak-kanak lagi menunggu untuk dikembalikan kepada keluarga mereka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Beliau berkata demikian bagi soalan tambahan Senator Salehuddin Saidin yang ingin tahu tempoh masa diperlukan memulihkan kesihatan mental kanak-kanak terlibat sebelum dikembalikan kepada keluarga masing-masing.

Nancy berkata, setakat hari ini, seramai 420 daripada 560 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global telah diserahkan kepada keluarga, termasuk empat kepada orang layak dan sesuai.

Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September lalu, sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan, manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun berjaya diselamatkan pihak polis.

Bagaimanapun setelah ditemu bual oleh pihak penguat kuasa, Nancy berkata didapati hanya 560 mangsa sahaja yang terlibat dan semuanya telah dikeluarkan perintah untuk berlindung sementara di bawah JKM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.