
Merujuk perdebatan antara Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan bekas menteri Radzi Jidin di Dewan Rakyat Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie) kecewa dua ahli politik itu masih menuding jari berkait isu pemansuhan peperiksaan UPSR dan PT3.
Pada sidang Isnin lalu itu, Fadhlina diasak terutama oleh wakil pembangkang yanng mahu peperiksaan utama dikembalikan, namun dijawab ketua Wanita PKR berkenaan, pemansuhan terbabit dibuat ketika Radzi, pemimpin Bersatu menjadi menteri pendidikan dari 2020 hingga November 2022.
UPSR dimansuhkan sepenuhnya pada 2021, manakala pemansuhan PT3 setahun selepas itu. Fadhlina berkata dasar pendidikan semasa ditumpukan kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Pengerusi Magpie Mak Chee Kin berpendapat tindakan menuding jari menteri itu ibarat memberi mesej bahawa peperiksaan utama itu tidak wajar dihapuskan tetapi beliau takut mengubahnya.
“Mesej yang kita dapat daripada Fadhlina ialah UPSR (dan PT3) tak patut dimansuhkan tetapi dia tak berani nak buat pembetulan.
“Sebab itu kita gesa jawatan menteri pendidikan dipilih di kalangan ahli akademik, orang yang betul-betul mempunyai pengalaman dalam dunia pendidikan dan lebih baik tiada talian parti politik.
“Jadi boleh buat keputusan terbaik untuk anak-anak kita, bukan sesuatu yang popular untuk mendapat undi sahaja,” katanya kepada FMT.
Mak menambah jawapan Fadhlina bahawa UPSR tidak akan dikembalikan sebaliknya diperhebat program intervensi dan pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) juga gagal menyelesaikan rintihan ibu bapa mengenai motivasi anak mereka yang semakin merudum.
“Menteri perlu akui, PBS ada banyak kelemahan untuk mengukur pencapaian pelajar,” katanya yang mencadangkan penilaian setiap penggal bermula dengan murid Tahun 4, agar mereka mempunyai semangat untuk belajar setiap masa.
Sementara itu, seorang ahli akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Hasnah Toran berkata sebagai seorang menteri yang duduk di portfolio ‘panas’, Fadhlina wajar menjawab soalan berbangkit dengan profesional berdasarkan hujah dan dapatan yang telah diperolehi.
“Dalam sesi libat urus bersama pakar dan ahli akademik sudah ada maklumat dan timbang taranya mengapa ia dibatalkan, jadi bangkitkanlah hujah-hujah itu.
“Bukan main petik begitu saja,” katanya yang turut mencadangkan kerajaan membentuk satu jawatankuasa khas bagi membantu KPM melaksanakan sesuatu dasar baharu dengan lebih teratur dan kemas.
Beliau berpendapat tindakan KPM mengumumkan sesuatu perkara termasuk isu membatalkan peperiksaan utama sebagai mengejut dan mendadak.
“KPM bila nak ‘roll out’ sesuatu dasar baru, seolah-olah mendadak kepada rakyat…patut secara teratur dan tidak terlalu terburu-buru.
“Pendapat saya kita perlu ada satu jawatankuasa boleh bantu KPM beri pendedahan dan kefahaman kepada tenaga pengajar, ibu bapa mengenai sistem baharu sebelum dilaksanakan.”