Ganti rugi Zuraida langgar bon dikurang, PKR bincang tindakan lanjut

Ganti rugi Zuraida langgar bon dikurang, PKR bincang tindakan lanjut

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Saifuddin Nasution Ismail berkata PKR akan melihat alasan penghakiman susulan keputusan Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah ganti rugi daripada RM10 juta kepada RM100,000.

Mahkamah Rayuan semalam mengurangkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar Zuraida Kamaruddin kepada PKR kerana melanggar syarat bon parti yang ditandatangani enam tahun lalu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
PKR akan berbincang dengan barisan peguam untuk tindakan selanjutnya susulan keputusan Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar Zuraida Kamaruddin kerana melanggar syarat bon parti daripada RM10 juta kepada RM100,000 semalam.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya akan melihat alasan penghakiman sebelum tindakan lanjut diambil.

Beliau turut memaklumkan bahawa parti itu mempunyai satu lagi saluran untuk menyemak semula keputusan iaitu di Mahkamah Persekutuan.

“Tapi dari segi fakta kes, sabitan semua itu berlaku dan ia dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan. Ini bermaksud tindakan PKR mengenakan cas komitmen kewangan itu adalah betul,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Semalam Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar Zuraida Kamaruddin kepada PKR itu kerana melanggar syarat bon parti yang ditandatangani enam tahun lalu.

Hakim See Mee Chun, yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata bekas naib presiden PKR itu melanggar terma bon tersebut, namun jumlah RM10 juta yang beliau diarahkan bayar sebelum ini adalah ‘keterlaluan’.

Mahkamah turut memerintahkan PKR membayar kos sebanyak RM40,000 kepada Zuraida.

PKR memfailkan saman terhadap Zuraida pada 2020 dengan mendakwa beliau melanggar bon kontrak apabila menyertai Bersatu susulan Langkah Sheraton pada Feb 2020.

Pada 23 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Zuraida membayar RM10 juta kepada PKR selepas membenarkan saman parti politik itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.