Imbau 2024: Individu, kejadian bersejarah sepanjang tahun

Imbau 2024: Individu, kejadian bersejarah sepanjang tahun

Mengimbau individu dan kejadian penting yang berlaku di Malaysia setiap bulan pada 2024.

najib razak kk mart Faisal Halim gisbh
Dari detik bersejarah Januari sehingga kejayaan dicapai pada Disember, 2024 menyaksikan pelbagai kejadian penting dan tokoh berpengaruh.
PETALING JAYA:
Dari detik bersejarah pada Januari hinggalah pencapaian mengagumkan pada Disember, 2024 menyaksikan pelbagai kejadian penting dan tokoh berpengaruh muncul, dengan kejadian setiap bulan yang menjadi topik perbincangan umum, selain membentuk masa depan negara.

Berikut imbauan bulan ke bulan individu serta kejadian yang menjadi tajuk berita utama tahun ini.

Januari: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Sultan Johor, Sultan Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan. Sambutan diadakan di seluruh negara menandakan detik bersejarah dalam kepemimpinan dan monarki negara.

Februari: Najib Razak

Pada 2 Feb, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan tempoh hukuman penjara bekas perdana menteri, Najib Razak dalam kes SRC International dikurangkan separuh daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. Keputusan itu mencetuskan kemarahan umum, selain pertikaian mengenai komitmen kerajaan dalam usaha antirasuah.

Mac: KK Mart & Akmal Saleh

Rangkaian pasar raya mini KK Mart dikritik hebat selepas stoking tertera kalimah Allah dijual di sebuah premisnya, yang mencetuskan kemarahan dan desakan boikot diketuai Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh. Pengasas syarikat itu, Chai Kee Kan, isterinya dan dua pengarah dari syarikat pembekal Xin Jian Chang kemudian didakwa atas tuduhan “melukakan perasaan agama orang lain”.

April: Bruce Gilley

Pensyarah jemputan di Universiti Malaya, Bruce Gilley menyampaikan ceramah yang dikritik kerana mendakwa pendirian pro-Palestin Malaysia seperti memperjuangkan “Holocaust kedua terhadap orang Yahudi”. Beliau kemudian menyuarakan rasa kesal, namun sebelum meninggalkan negara ini, Gilley mendakwa merasa terancam dengan apa disifatkannya sebagai “kelompok Islamo-fasis”.

Mei: Faisal Halim

Pemain bola sepak negara, Faisal Halim disimbah asid pada 5 Mei ketika meninggalkan sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, mengakibatkannya mengalami kelecuran tahap empat. Beliau menjalani empat pembedahan dan dirawat selama 10 hari di unit rawatan rapi. Kejadian itu antara beberapa siri serangan terhadap pemain bola sepak kebangsaan bulan itu, namun polis menafikan kes berkenaan saling berkait.

Jun: MAHB

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mendapat perhatian susulan rancangan penswastaannya melibatkan Global Infrastructure Partners, yang dalam proses pengambilalihan oleh BlackRock. Ia mencetuskan kebimbangan dengan segelintir pihak membantah entiti asing seperti BlackRock menguruskan lapangan terbang Malaysia, khususnya dakwaan hubungannya dengan syarikat pertahanan Israel serta konflik di Gaza.

Julai: Tiger Beer

Isu ini bermula apabila Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu bergambar dengan cek replika Tiger Beer dalam acara kutipan dana di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Selangor. PAS mengkritik penerimaan sumbangan dari syarikat minuman keras, namun syarikat itu menjelaskan pihaknya hanya menyelaras persembahan artis tempatan dalam konsert amal.

Ogos: Atlet

Atlet Malaysia menunjukkan prestasi hebat dalam temasya Olimpik Paris, khususnya dalam acara terjun dan lumba basikal. Atlet beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta pemain perseorangan, Lee Zii Jia masing-masing membawa pulang pingat gangsa.

September: GISBH

Negara digemparkan dengan serbuan polis ke atas beberapa rumah kebajikan, khususnya di Selangor dan Negeri Sembilan, yang mendedahkan bukti penderaan. Ratusan kanak-kanak diselamatkan. Penyiasat menemui bahan berkaitan ajaran Al-Arqam, yang membayangkan GISBH terus menyebarkan ajaran sesat.

Oktober: Ringgit

Ringgit melonjak ke tahap tertinggi RM4.18 berbanding dolar AS selepas sekian lama. Penganalisis menjangkakan ringgit terus mengukuh, disokong perbezaan kadar faedah yang semakin kecil dengan AS, dan prestasi perdagangan Malaysia semakin baik.

November: Fashion Valet

Pengasas Fashion Valet, Vivy Yusof dan Fadzaruddin Shah dikecam susulan pendedahan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad mengalami kerugian RM43.9 juta akibat pelaburan dalam platform e-dagang itu.

Selepas meletak jawatan dalam syarikat berkenaan pada 1 Nov, pasangan itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana “transaksi mencurigakan” dan seterusnya didakwa atas tuduhan pecah amanah RM8 juta. Mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

Disember: Proton

Proton melancarkan kereta elektrik e.Mas, pengubah keadaan dalam industri automatif Malaysia yang menandakan komitmen syarikat itu terhadap inovasi dan kelestarian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.