
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan, berkata serangan Bung Moktar tidak berasas dan tidak mencerminkan realiti pencapaian kerajaan GRS.
“Saya ingin menasihatkan Bung Moktar agar menyemak fakta dengan teliti sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh berbaur kebencian atau dendam.
“Beliau harus menyedari bahawa kepentingan peribadi atau agenda politik sempit tidak boleh diletakkan sebagai senjata utama untuk memenangi hati rakyat,” menurut kenyataan.
Nizam berkata kutipan hasil negeri meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh empat tahun pentadbiran Hajiji, dengan Sabah mencatatkan kutipan hasil RM6.973 bilion pada 2023, yang merupakan rekod tertinggi.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa kerajaan GRS PH plus telah mengurus ekonomi negeri dengan bijaksana melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
“Selain itu, di bawah kepimpinan Hajiji Sabah berjaya menarik pelaburan bernilai tinggi yang turut mencipta banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.”
Nizam menyenaraikan contoh seperti pelaburan RM2.3 bilion oleh SK Nexilis untuk kilang kerajang tembaga yang menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan, pelaburan dianggarkan RM7.2 bilion oleh Kibing Group untuk kilang solar yang membuka lebih 1,800 peluang pekerjaan baharu, serta pelaburan dalam industri petrokimia oleh Ammonia Urea Sabah yang menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Usaha bina prasarana asas yang kondusif untuk meningkatkan ekonomi rakyat dan cipta peluang pekerjaan terus dipergiat, tambahnya.
“Pimpinan Hajiji telah menunjukkan integriti dan komitmen yang jelas terhadap kesejahteraan rakyat Sabah, dan dakwaan mengenai ketidakcekapan atau isu integriti adalah usaha untuk mengalih perhatian daripada pencapaian sebenar kerajaan GRS.
“Oleh itu, adalah penting untuk menilai kerajaan berdasarkan fakta dan rekod pencapaian, bukan berdasarkan tohmahan yang tidak berasas,” katanya.
Bung Moktar dalam kenyataan 29 Dis mendakwa GRS merupakan kerajaan negeri ‘paling gagal’ dalam sejarah Sabah memandangkan janji menyediakan ratusan ribu peluang kerja tidak ditunaikan.
Bung Moktar berkata, Sabah kekal antara negeri termiskin dan mencatat kadar pengangguran antara tertinggi di Malaysia.
Bekas timbalan ketua menteri dalam pentadbiran Hajiji itu berkata BN ikrar akan mengeluarkan lapan daerah daripada kelompok termiskin jika menang PRN tahun depan.