
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, 985 keluarga sedang berlindung di 36 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Tinggi, Kluang, Johor Bahru, Kulai dan Pontian setakat 8.30 pagi ini.
Jumlah mangsa banjir paling ramai di Kota Tinggi, iaitu 1,153 daripada 364 keluarga ditempatkan di 13 PPS, diikuti Johor Bahru dengan 732 orang daripada 219 keluarga di lima PPS.
Di Kulai, 539 mangsa banjir membabitkan 151 keluarga dipindahkan ke lima PPS, manakala Kluang mencatatkan 504 orang daripada 147 keluarga di lima PPS dan Pontian dengan 414 orang daripada 104 keluarga di lapan PPS.
Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan dua sungai kini melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang (15.75m) dan Sungai Siam di Kampung Sungai Siam, Kulai (21.01m).
Keadaan di Perak pula tidak berubah dengan 30 orang daripada lapan keluarga berlindung di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di Beruas, Manjung.
Di Terengganu pula, sebuah PPS dibuka di Kemaman semalam menempatkan 15 mangsa daripada lima keluarga di Balai Raya Geliga Pantai.
Menurut laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my, Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut melepasi tahap bahaya dengan bacaan 35.64m.