Buruh didakwa bunuh wanita Indonesia

Buruh didakwa bunuh wanita Indonesia

Tertuduh yang juga warga Bangladesh, MD Shimul Babu, 23, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik hotel bajet, dua minggu lalu.

gavel
Buruh warga Bangladesh, MD Shimul Babu, 23, didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas dakwaan membunuh wanita warga Indonesia. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang buruh warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas dakwaan membunuh wanita warga Indonesia yang ditemukan maut dalam sebuah bilik hotel bajet, dua minggu lalu.

Tertuduh, MD Shimul Babu, 23, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal, menurut Sinar Harian.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh Nurhayati, 39, di sebuah bilik hotel, di Taman Mawar, Puchong pada 10.12 malam, 31 Disember lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasuki Malaysia tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Siasatan Jenayah, IPD Serdang pada 4.30 petang, 3 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam kali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie yang mengendalikan pendakwaan tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Media melaporkan sebelum ini, seorang wanita warga asing ditemui meninggal dunia di sebuah bilik hotel bajet.

Ketua Polis Serdang A A Anbalagan dipetik sebagai berkata, siasatan awal mendapati mayat mangsa ditemukan pekerja hotel pada 9 malam sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.