
Hakim Amarjeet Singh turut mengarahkan pihak terbabit membayar kos RM5,000.
New Sin Yew, peguam yang mewakili badan pengurusan (MC) penduduk berkata dalam prosiding hari ini JMB Residence Icons telah memohon penangguhan keputusan Mahkamah Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata sementara menunggu penyelesaian rayuan di Mahkamah Rayuan.
Menurutnya, mahkamah menolak permohonan itu berdasarkan hujahan utama bahawa keputusan sebelum ini hanya menolak tuntutan JMB tanpa memberikan arahan kepada mana-mana pihak untuk melaksanakan sesuatu tindakan.
Pada 8 Nov tahun lalu, Mahkamah Tinggi turut menolak permohonan semakan kehakiman oleh JMB Icon Residence untuk mencabar keabsahan pelantikan MC untuk mengambil alih pengurusan kondominium itu, seperti ditetapkan Suruhanjaya Bangunan (COB).
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh menyatakan peranan pengurusan akan beralih sepenuhnya kepada Perbadanan Pengurusan, yang ditubuhkan menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama pada 23 Disember 2023.
Mahkamah juga memerintahkan JMB segera memindahkan baki dana dalam akaun penyelenggaraan dan dana simpanan kepada perbadanan pengurusan serta menyerahkan semua aset, liabiliti, dokumen, serta rekod berkaitan.