Ahli Parlimen Alor Setar enggan layan gesaan kemuka usul tidak percaya terhadap PM

Ahli Parlimen Alor Setar enggan layan gesaan kemuka usul tidak percaya terhadap PM

Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata berbanding melayan gesaan Hassan Karim, sebaiknya mereka tumpu usaha lahir pemimpin pelapis PN.

Afnan Hamimi Taib Azamudden menegaskan tiada keperluan layan gesaan Hassan Karim supaya PN bawa usul tidak percaya terhadap Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berpendapat komponen itu tidak perlu melayan gesaan membawa usul undi tidak percaya terhadap Anwar Ibrahim selaku perdana menteri pada sidang Dewan Rakyat bermula 3 Feb depan.

Mengulas gesaan Ahli Parlimen PKR Hassan Karim, wakil rakyat Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata sebaiknya mereka menumpukan kepada usaha ‘melahirkan pemimpin pelapis’ di kalangan anak muda.

“Biarlah dia, saya tak perlu layan semua itu.

“Kami tumpu nak bina anak muda untuk jadi pelapis kepimpinan negara,” katanya yang juga ketua Pemuda PAS dan PN kepada FMT.

Beliau mengulas gesaan Hassan supaya PN membawa usul undi tidak percaya terhadap Anwar sekiranya mereka berpendapat Anwar tidak layak menerajui pentadbiran negara.

“Di dalam Dewan Rakyat itu nanti adalah tempat yang wajar menentukan sama ada Anwar layak atau tidak layak menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan yang berharap cabarannya itu dijawab pemimpin PN termasuk Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz.

Gesaan itu hadir selepas Faisal berkata Anwar dan timbalannya Zahid Hamidi bersama kepimpinan kerajaan perpaduan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), tidak layak memerintah negara.

Beliau mendakwa kerajaan hari ini gagal menunaikan janji-janji pilihan raya, termasuk menurunkan kos sara hidup, menghapuskan tol, dan melaksanakan reformasi institusi.

Tun Faisal juga mendakwa kenyataan Hassan yang mempertahankan pentadbiran Anwar sebagai tidak lagi rasional kerana nadanya telah berubah sejak dipanggil Lembaga Disiplin PKR November lalu.

Beliau mendakwa perkara itu dapat dilihat selepas Hassan tidak lagi mengkritik kerajaan malah mempertahankan Anwar berkait titah adendum.

Pada November lalu, Lembaga Disiplin PKR memanggil Hassan selepas menerima dua aduan daripada ahli Majlis Pimpinan Pusat berhubung kritikan terbuka terhadap kerajaan. Bagaimanapun Ketua Penerangan Fahmi Fadzil berkata tiada tindakan akan diambil ke atasnya.

Dakwaan Tun Faisal menyusul kenyataan Hassan pada 18 Jan lalu, tiada seorang pun pemimpin semasa Bersatu dan PAS layak memimpin negara.

Hassan berkata ‘amat bahaya’ sekiranya pemimpin semasa PN dibenarkan mentadbir negara semula, susulan tindakan mereka yang menurutnya ‘membunuh demokrasi’ ketika wabak Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.