
“Ini adalah salah satu ciri 5G, yang menawarkan spektrum khusus dan selamat (untuk mencipta) rangkaian 5G persendirian,” kata Fahmi kepada media pada Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia (AISSE 2025).
“Ia sesuatu sedang dibincangkan industri,” katanya sambil menambah kerajaan telah diminta menyediakan perkhidmatan itu di Malaysia.
Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang berusaha untuk melengkapkan agensi kritikal seperti polis dengan teknologi terbaik.
Menurutnya, ciri itu yang termasuk dalam kategori teknologi Internet kebendaan (IoT) membolehkan organisasi menarik data daripada peranti disambungkan dengan selamat dan cekap.
Fahmi berkata cadangan itu dibuat semasa perbincangan berterusan mengenai penggunaan rangkaian peribadi yang disulitkan untuk agensi penguatkuasaan undang-undang.
Beliau menambah teknologi penghirisan rangkaian juga boleh disediakan kepada industri dan syarikat swasta.
Terdahulu, Fahmi dalam sesi penerangannya pada program itu menjelaskan keperluan untuk keselamatan internet dan kebolehcapaian lebih besar apabila lebih ramai masyarakat luar bandar, termasuk Orang Asli mendapat akses kepada internet.
Bagaimanapun Fahmi berkata kerajaan pada masa yang sama bimbang dengan kesan peningkatan akses kepada laman lucah dan perjudian dalam talian.
“Pengguna juga boleh menjadi mangsa penipuan dalam talian,” katanya sambil menambah bahawa kementeriannya berusaha meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian di kalangan pelajar.