Penganalisis ragui kelebihan utamakan MIPP berbanding Gerakan

Penganalisis ragui kelebihan utamakan MIPP berbanding Gerakan

Syaza Shukri berkata tambahan sokongan pengundi India kepada PN pada PRK Sg Bakap adalah 'sedikit'.

parti gerakan
Penganalisis berkata Gerakan lebih dikenali berbanding MIPP.
PETALING JAYA:
Penganalisis ragui kelebihan buat Perikatan Nasional (PN) sekiranya gabungan itu mengutamakan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) berbanding Gerakan untuk memenangi majoriti tipis kerusi di Pulau Pinang.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) tidak menjangkakan sebarang perubahan besar memandangkan MIPP tidak dikenali dalam kalangan rakyat.

“Gerakan lebih dikenali daripada MIPP. Impaknya tak akan besar, lebih-lebih lagi di Pulau Pinang,” katanya kepada FMT.

Beliau juga berkata sokongan pengundi berketurunan India kepada PN pada PRK Sungai Bakap, 6 Julai tahun lalu, adalah ‘sedikit’.

“Walaupun memang ada tambahan sokongan India untuk PRK Sungai Bakap, ia adalah tambahan sedikit kepada penyokong PN yang masih berasaskan pengundi Melayu,” katanya.

Sumber memberitahu FMT bahawa PN mengalihkan fokus kepada pengundi Melayu dan India di Pulau Pinang untuk memenangi majoriti tipis kerusi pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, PN akui ia akan bergelut untuk meraih undi kaum Cina – seperti dibuktikan oleh prestasinya pada PRU15 dan PRN 2023, apabila Gerakan yang berbilang kaum gagal peroleh sokongan komuniti itu.

Sebaliknya, sumber berkata, PN mendapati ada perubahan ‘ketara’ sokongan dalam kalangan masyarakat India, khususnya pada PRK Sungai Bakap Julai 2024.

Bagi menarik undi kaum India, sumber PN berkata, gabungan itu sedang melihat kemungkinan mengangkat ahli India ke jawatan kepimpinan negeri.

Antara cadangan sedang dipertimbangkan ialah memilih seorang pemimpin India sebagai ‘poster boy’ untuk pilihan raya akan datang, namun cadangan ini masih di ‘peringkat sangat awal’ perbincangan.

Lau Zhe Wei dari UIAM berkata mengutamakan MIPP mungkin boleh meningkatkan peluang PN di beberapa kerusi.

“Untuk kata tarik keseluruhan sokongan pengundi di Pulau Pinang, tak mungkin tapi mungkin memenangi beberapa kerusi di Pulau Pinang itu adalah satu kemungkinan,” katanya.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata PN tidak wajar menggunakan PRK Sungai Bakap untuk mengukur sokongan, memandangkan parti utama di Pulau Pinang, DAP kini lebih kuat.

“Selepas pemilihan DAP dan ahli jawatankuasa eksekutif, DAP merangkumi semua ‘kem’. Jadi sukar menjadikan PRK Sungai Bakap sebagai panduan kerana DAP dah kembali bersatu serta suara akar umbi telah didengari,” katanya.

PRK Sungai Bakap menyaksikan peratusan keluar mengundi keseluruhan lebih rendah, dengan hanya 47% pengundi Cina menunaikan tanggungjawab mereka, khasnya disebabkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.