Dakwaan Bersatu, PN hilang arah tuju amaran akhir buat pemimpin, kata penganalisis

Dakwaan Bersatu, PN hilang arah tuju amaran akhir buat pemimpin, kata penganalisis

Tawfiq Yaakub dan Azmi Hassan senada bahawa Bersatu, PN gagal tonjol gabungan itu sebagai alternatif kerajaan perpaduan.

Bersatu harus menyelesaikan hal kepimpinan, hala tuju parti untuk membolehkan mereka menandingi PAS, yang dilihat jauh ke depan dari segi kerusi Parlimen, menurut penganalisis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua penganalisis politik senada bahawa Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) perlu tampil dengan hala tuju serta prinsip jelas bagi meyakinkan rakyat untuk memilihnya mentadbir Putrajaya selepas PRU16.

Tawfiq Yaakub dan Azmi Hassan berpendapat, dakwaan bekas pemimpin Bersatu Mahathir Rais bahawa pembangkang tiada hala tuju dan telah mengubah prinsip perjuangan perlu dijadikan sebagai amaran akhir untuk diambil serius oleh kepimpinan.

Tawfiq daripada Universiti Malaya berkata, teguran Mahathir berkait usaha menjatuhkan pentadbiran Putrajaya sebelum PRU16 membuktikan PN dan Bersatu tiada prinsip jelas yang hanya menyebabkan usaha memulihkan ekonomi dan mewujudkan kestabilan politik terganggu.

Menurutnya, PN dan Bersatu sepatutnya memainkan peranan pembangkang yang cekap dengan mengemukakan dasar alternatif demi kesejahteraan rakyat, namun memilih menangguk di air keruh untuk mengekalkan popularitinya.

Beliau merujuk sokongan pemimpin PN, termasuk Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, terhadap Najib Razak dalam isu titah adendum tahanan rumah pada himpunan di Putrajaya 6 Jan lalu.

“Bersatu tiada kekuatan yang jelas hanya berharap pada ‘kaki palsu’ daripada penyokong PAS, bekas ahli serta pemimpin Umno yang kecewa,” kata Tawfiq kepada FMT.

“Mereka masih main politik dan kemaruk kuasa setelah gagal membentuk kerajaan selepas PRU15, tanpa memperlihatkan manfaat besar yang boleh mereka kemukakan kepada rakyat serta orang Melayu khususnya.

“Sampai sekarang tidak nampak hasil berimpak tinggi seperti mereka canangkan melalui kerjasama empat kerajaan negeri menerusi SG4, sepatutnya ada kesan jangka pendek atau panjang tetapi masih kabur.”

SG4 merujuk syarikat ditubuhkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis pada September 2023 bagi berkongsi kekayaan dan mengagihkan hasil antara empat negeri itu secara saksama.

Semalam, Mahathir mendakwa beliau keluar Bersatu pada 11 Jan lepas kerana parti itu dibelenggu individu mengutamakan agenda peribadi berbanding prinsip penubuhan parti.

Menurut bekas ketua Bersatu Segambut itu, beberapa bekas ahli Umno yang menyertai parti itu masih setia terhadap Najib dan berusaha melemahkan nilai perjuangan parti itu.

Mahathir turut mempersoalkan ketiadaan hala tuju jelas PN dalam mentadbir Putrajaya yang disifatkan berbahaya untuk negara serta tidak mampu kekal lama jika dipilih rakyat.

Beliau juga membidas usaha berterusan PN mengambil alih pentadbiran Putrajaya sebelum PRU16 atau melalui pintu belakang yang menyebabkan rakyat bosan dengan ketidakstabilan.

PN alami dehidrasi politik, hilang arah tuju

Tawfiq berkata, tindak tanduk PN itu menunjukkan mereka mengalami ‘dehidrasi politik’ kerana semakin hilang idea, arah tuju dan pudar identiti sehingga terpaksa mengambil kesempatan atas isu pemimpin politik luar parti dan kekuatan parti lain untuk kekal relevan.

“Bagi saya, parti atau gabungan sebegini tidak kekal lama. Lihat saja dulu, banyak gabungan parti politik gah dari segi nama tetapi akhirnya terkubur kerana mempunyai kepentingan politik peribadi semata-mata, seperti Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat sekitar 1990,” katanya.

Azmi yang juga felo Majlis Profesor Negara pula berkata, pembangkang sepatutnya lebih berusaha menonjolkan gabungan itu sebagai alternatif kerajaan perpaduan namun gagal, berkemungkinan disebabkan krisis dalaman yang masih membelenggu Bersatu.

“Bersatu kena selesaikan hal kepimpinan, hala tuju parti untuk membolehkan mereka menandingi PAS, yang dilihat jauh ke depan dari segi kerusi Parlimen.

“Jika masalah dalaman masih gagal diselesaikan, sukar untuk mereka bersaing dengan PAS dan membantu PN bersaing dengan PH dan BN,” katanya yang setuju dengan dakwaan PN gagal memainkan peranannya sebagai pembangkang berwibawa.

“Selama ini, Bersatu bersama PAS dikatakan sibuk dan seronok menebuk atap, menjatuhkan kerajaan … bukan beri satu alternatif cadangan terhadap dasar kerajaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.