Pertubuhan seru perkenal kursus AI dalam program USANITA-SBS Universiti Oxford

Pertubuhan seru perkenal kursus AI dalam program USANITA-SBS Universiti Oxford

Presiden Badan Perhubungan Negara di London Muhammad Ali Najmi Azizi berkata AI penting untuk graduan bersaing dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Adzliana Hasan (kiri) mendapatkan maklum balas daripada pertubuhan komuniti Malaysia di United Kingdom berhubung program bakal diperkenal USANITA dengan kerjasama Sekolah Perniagaan Saïd (SBS) Universiti Oxford. (Gambar USANITA)
PETALING JAYA:
Sebuah pertubuhan menyeru kursus kecerdasan buatan (AI) diperkenal dalam program kerjasama USANITA Sdn Bhd (USANITA) dengan Sekolah Perniagaan Saïd (SBS) Universiti Oxford di United Kingdom (UK) yang dimeterai baru-baru ini.

Presiden Badan Perhubungan Negara di London, Muhammad Ali Najmi Azizi berkata langkah itu bagi membantu graduan mampu bersaing dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“AI kini menjadi asas utama dalam pelbagai sektor seperti kejuruteraan, kesihatan, perniagaan dan kewangan.

“Kursus sebegini akan memberikan kelebihan kompetitif kepada pelajar serta lepasan siswazah Malaysia dalam kerjaya dan perniagaan,” katanya.

Beliau turut berharap kerjasama itu membuka lebih banyak peluang akademik, keusahawanan dan profesional kepada rakyat Malaysia di peringkat global.

Presiden Persatuan Malaysia dan Singapura (MASSOC) di Sheffield Danial Haironnine pula menghargai usaha USANITA yang berjaya memperkukuhkan jaringan dengan institusi pendidikan disegani demi kebaikan rakyat Malaysia.

“Kejayaan USANITA menandatangani MoU dengan Universiti Oxford membuktikan bahawa rakyat Malaysia mampu mencapai kejayaan hebat jika diusahakan dengan strategi yang tepat,” katanya.

Beliau berkata kerjasama itu juga akan memberi manfaat besar kepada pelajar dan graduan dalam meningkatkan daya saing mereka dalam industri masa depan.

“Kerjasama ini bukan sahaja membuka akses kepada pendidikan bertaraf dunia, tetapi juga memperkukuhkan hubungan akademik dan profesional antara Malaysia dan UK,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif USANITA Adzliana Hasan pula berkata pihaknya sentiasa mendapatkan maklum balas dari pelbagai pihak bagi memastikan program dan kursus ditawarkan melalui kolaborasi dengan Universiti Oxford itu memenuhi keperluan semasa dan masa depan.

Menurutnya, USANITA juga komited menyokong pelajar Malaysia dalam aspek pembangunan sahsiah, kepimpinan dan kemahiran profesional termasuk menerusi program terbabit.

“Kami percaya pelajar Malaysia aset negara yang perlu dibimbing dan diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan supaya mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.