Lebih banyak tikus daripada orang, Flat Padang Tembak mahu pembaharuan

Lebih banyak tikus daripada orang, Flat Padang Tembak mahu pembaharuan

Penghuni projek perumahan kos rendah bertingkat tinggi yang pertama di Pulau Pinang kata sudah masanya Flat Padang Tembak diberi nafas baharu.

penang rifle range flat
Grafiti pada dinding-dinding rumah pangsa antara isu kebersihan di Flat Padang Tembak.
GEORGE TOWN:
Seorang cef hotel yang sudah bersara terkenang keterujaan yang dirasai keluarganya apabila melangkah masuk ke kediaman mereka di Flat Padang Tembak pada 1969.

Kompleks sembilan blok itu merupakan projek perumahan kos rendah bertingkat tinggi yang pertama di Pulau Pinang, dan ketika itu penghuni disajikan dengan pemandangan kota saujana mata memandang.

“Ia sangat kemas dan bagus. Semuanya serba baharu apabila kami berpindah ke sini,” kata Choong Yit Chuwan, 73, yang berpindah ke situ bersama keluarganya selepas rumah mereka di Lebuh Farquhar diperoleh kerajaan.

Lima dekad dan enam tahun kemudian, syurga keluarganya menjadi mimpi ngeri.

“Hari ini kita perlu berhati-hati, kalau tidak ‘pecah kepala’. Setiap masa botol, lampin dan segala macam benda dilemparkan ke bawah dari tingkat atas.

“Sejak 10 tahun lalu, bukan sahaja tempat ini dipenuhi orang, malah saya rasa lebih banyak tikus berbanding penduduk. Itu belum lagi cerita pasal masalah tahi burung,” tambahnya.

rashid adam shah
Warga emas Rashid Adam Shah (kiri) dan Choong Yit Chuwan (kanan) harap dapat menyaksikan pembaharuan Flat Padang Tembak berlaku dalam hayat mereka.

Flat Padang Tembak, yang dikenali sebagai ‘Pat Cheng Por’ dalam kalangan penghuninya, dibina atas tanah seluas 8ha di Air Itam, dahulunya lapangan sasar yang digunakan oleh polis dan tentera.

Hari ini, ia merupakan projek perumahan kos rendah terbesar di Pulau Pinang, menempatkan hampir 15,000 penduduk di 3,699 unit, dengan 449 unit milik kerajaan dikhaskan untuk golongan miskin.

Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dicadangkan kerajaan persekutuan bertujuan untuk meruntuhkan bangunan yang sudah tua dan membina semula. Penduduk seperti Choong, walaupun ragu-ragu, menyambut rang undang-undang itu sebagai sesuatu yang perlu.

“Jika ada bangunan yang perlu dirobohkan, ini lah dia. Tetapi sebelum kamu berbuat demikian, pastikan kami dapat rumah sementara dan diberi rumah baharu apabila semua kerja selesai,” katanya.

Seorang lagi penghuni, yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Chye, bersetuju flat ini perlu diroboh kerana sudah terlalu uzur sehingga tidak lagi boleh dibaiki.

“Paip dah reput, talian elektrik terpintas-pintas. Tak kira berapa kali pun kita baiki, masalah muncul kembali. Lif pun tak boleh diharap. Buat sahaja rancangan itu. Kami tak mahu tunggu sampai mati,” katanya.

penang rifle range flat
Penduduk gusar tentang penyakit seperti denggi lantaran timbunan sampah di kompleks perumahan ini.

Rashid Adam Shah, 60, yang mengusahakan gerai minuman sejak 45 tahun lalu, mahu kemudahan yang lebih baik untuk penduduk, seperti taman permainan, laluan pejalan kaki, dan surau.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid, yang sekian lama mendesak pembaharuan Flat Padang Tembak, berkata kompleks rumah pangsa ini harus jadi projek utama di bawah URA, dan harus dipertimbangkan sebagai projek perintis.

“Kita tidak boleh terus membiarkan kawasan ini seperti sedia ada. Sesuatu mesti dilakukan,” katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa Pulau Pinang dan Perbadanan PR1MA Malaysia pernah membincangkan pelan pembangunan semula secara berperingkat untuk Flat Padang Tembak, yang akan menyaksikan blok perumahan sementara dibina untuk penduduk berpindah sementara blok asal dirobohkan dan dibina semula.

Proses itu akan diulang bagi setiap blok, dalam suatu ‘projek raksasa’ yang menurut Syerleena boleh mengambil masa antara 15 dan 20 tahun untuk siap.

Beliau berkata URA mesti ambil kira pandangan penduduk sebelum sebarang projek pembaharuan bandar dilaksanakan.

penang rifle range flat
Tikus melata di rumah pangsa, terutama di tempat buang sampah dan timbunan-timbunan di sekitar flat.

“Apabila anda melibatkan penduduk, sama ada memilih kemudahan atau menentukan naik taraf, ia memberikan mereka rasa pemilikan,” katanya.

Syerleena kata pengabaian dan penyelenggaraan yang tidak baik menyebabkan masalah reput, dan penduduk yang menyaksikan persekitaran semakin teruk berasa tiada upaya.

Beliau kata pembaharuan bandar perlu dilakukan secara cermat, agar projek perumahan berkepadatan tinggi tidak menjadi perumahan yang sesak dan daif.

“Penguatkuasaan amat diperlukan. Semua orang perlu main peranan — pegawai perumahan, pengurusan, majlis tempatan — kerana kita tidak boleh biar segelintir pelaku menjejaskan kehidupan seluruh masyarakat,” katanya.

Walaupun Akta Pembaharuan Semula Bandar boleh membawa permulaan baharu bagi Flat Padang Tembak, Syerleena berkata perubahan sedemikian akan mengambil masa beberapa dekad.

“Saya tidak pasti sama ada saya masih hidup untuk melihat pembangunan semula Padang Tembak selesai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.