Guan Eng saran peruntukan kaum lain 10% daripada jumlah diterima Bumiputera

Guan Eng saran peruntukan kaum lain 10% daripada jumlah diterima Bumiputera

Ahli Parlimen Bagan berkata kaum lain hanya menerima 3% daripada keseluruhan peruntukan yang diberikan kepada Bumiputera sebelum ini.

Lim Guan Eng berkata beliau menyokong sebarang jumlah diberikan bagi membantu Bumiputera, namun peratusan peruntukan kepada kaum bukan Bumiputera juga perlu dinaikkan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan mencadangkan peruntukan kepada kaum lain dinaikkan sebanyak 10% daripada jumlah keseluruhan peruntukan diterima komuniti Bumiputera dalam belanjawan akan datang.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkata, beliau menyokong sebarang jumlah yang diberikan bagi membantu golongan Bumiputera, namun peratusan peruntukan kepada kaum bukan Bumiputera juga perlu dinaikkan.

“Contohnya, jika RM12 bilion diperuntukkan kepada kaum Bumiputera, maka berikanlah 10% atau RM1.2 bilion kepada bukan Bumiputera.

“Ini selaras dengan kerajaan perpaduan yang menjaga semua rakyat,” katanya ketika membahas Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2024) 2025 di Dewan Rakyat.

Lim berkata, hanya 3% atau RM345 juta daripada keseluruhan peruntukan RM11.4 bilion kepada golongan Bumiputera diberikan kepada komuniti lain dalam Belanjawan 2022.

Isu perbezaan besar dalam pengagihan peruntukan antara kaum itu pernah dibangkitkan pengerusi DAP itu pada tahun 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.