Kadangkala lebih baik pemimpin dunia tak berbual, kata Nazri

Kadangkala lebih baik pemimpin dunia tak berbual, kata Nazri

Bekas duta itu berkata, Donald Trump mungkin akan tegur Anwar Ibrahim dengan keras berhubung Hamas.

Mohamed Nazri bin Abdul Aziz
Nazri Aziz yang baru sahaja tamat dua tahun perkhidmatan sebagai duta Malaysia ke AS bercakap tentang bagaimana Malaysia harus berurusan dengan pentadbiran Trump.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin akan ditegur keras oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam panggilan telefon, jika ia berjaya diatur antara mereka, menurut bekas duta Nazri Aziz.

“Kadangkala lebih baik tidak telefon terus,” kata Nazri kepada FMT, apabila ditanya mengenai kritikan berhubung panggilan telefon yang tidak berjaya diatur antara kedua-dua pemimpin itu ketika Trump dilantik pada Januari.

Nazri berkata, perbualan telefon antara Anwar dan Trump boleh menimbulkan komplikasi.

“Mengetahui Trump (dan sifatnya yang sukar dijangka), beliau mungkin (memarahi) perdana menteri kita kerana sokong Hamas, dan saya tidak tahu apa reaksi Anwar (terhadap sikap Trump).

“Ia boleh cetuskan masalah yang lebih besar. Perdana menteri kita tidak akan hanya berdiam diri dan terima sahaja,” kata Nazri menambah, beliau sedar akan tanggungjawabnya mengekalkan hubungan baik antara AS dan Malaysia.

Nazri dikritik hebat kerana didakwa gagal mengatur panggilan telefon antara kedua-dua pemimpin itu semasa menjadi duta Malaysia ke AS.

Beliau berkata, pemimpin Singapura, Indonesia, Vietnam, Filipina dan Thailand, yang dapat peluang bercakap dengan Trump, dikira rakan kongsi strategik dan komprehensif, manakala perkongsian komprehensif antara Malaysia dengan AS sudah masuk sedekad.

“Kita harus sasarkan hubungan komprehensif dengan pelbagai pemain global, termasuk Rusia, India dan China, berbanding usaha untuk ‘berkawan baik’ hanya dengan satu negara,” katanya.

Pendirian Trump tak jauh beza

Cuba meredakan kebimbangan mengenai hubungan Malaysia dengan Trump, Nazri berkata, pendirian presiden AS itu mengenai perdagangan, imigresen dan isu sosial tidak jauh bezanya dengan pendirian Malaysia.

Nazri yang berkhidmat sebagai duta Malaysia ke AS dari 2023 hingga 2024 berkata, kebimbangan berhubung dasar perdagangan Trump tidak kena pada tempatnya kerana tarif biasa diamalkan di seluruh dunia.

“Jika nak cakap tentang tarif, setiap negara ada (kenakan tarif). Kita ada tarif ke atas kereta asing dan produk lain sehingga 100%, itu perkara biasa,” katanya.

Beliau berkata, kempen tarif Trump bertujuan membawa pekerjaan dan kilang kembali ke AS, bukannya untuk menyasarkan Malaysia.

“Ia tidak selektif, dan tidak bersasar, (tetapi) terbuka, menyeluruh,” katanya

Selain itu, pendirian Trump juga serupa dengan Malaysia dalam isu pendatang tanpa izin, tambahnya.

“Kita juga tidak suka pendatang tanpa izin masuk ke negara kita, malah Rohingya tidak diterima dengan baik di sini.”

Beliau berkata, pandangan Trump tentang kewujudan hanya dua jantina juga mungkin dialu-alukan oleh masyarakat Malaysia yang konservatif.

“Di Malaysia, kita juga hanya iktiraf (jantina) lelaki dan perempuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.