
Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara berkata walaupun kedudukan Izzah sebagai anak Presiden Anwar Ibrahim akan jadi perbualan orang ramai, ia tidak akan beri implikasi serius kerana beliau terbukti mampu menyumbang kepada parti selepas sekian lama berkecimpung dalam politik.
“Beliau ingin buktikan mampu bersaing secara sihat dan tidak bergantung kepada bayang-bayang ayahnya di dalam pemilihan parti,” katanya kepada FMT.
Semalam, Izzah yang tidak bertanding pada pemilihan 2022 mengumumkan akan melangkah ke gelanggang naib presiden, di mana beliau bakal berdepan tiga penyandang — Amirudin Shari (menteri besar Selangor), Aminuddin Harun (menteri besar Negeri Sembilan), dan Nik Nazmi Nik Ahmad (menteri persekutuan).
Setakat berita ini ditulis, seorang lagi naib presiden yang terpilih pada pemilihan lalu, Chang Lih Kang, yang juga menteri persekutuan, belum mengumumkan langkah.
Izzah juga akan bersaing dengan seorang lagi menteri persekutuan, Fahmi Fadzil.
Azmi Hassan, felo di Majlis Profesor Negara, berkata Izzah perlu berada dalam saf kepimpinan kanan parti melalui mandat akar umbi untuk kelangsungan kerjaya politiknya.
“Pemilihan kali ini adalah tempoh sesuai untuk Izzah menonjol memandangkan kedudukan PKR kini dalam kerajaan,” katanya.
Ariff juga percaya Izzah akan dapat mengukuhkan pengaruh dan kedudukan menjelang PRU16 sekiranya beliau terpilih untuk menduduki kerusi naib presiden.
Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya yakin Izzah mampu menghadapi pesaing lain kerana ahli dan pemimpin PKR amat mengenali beliau yang telah lama berkhidmat kepada parti.
“Beliau bukan calon yang diwahyukan secara tiba-tiba untuk bertanding dalam pemilihan parti,” katanya.
“Tanpa seruan atau wahyu daripada mana-mana pemimpin tertinggi atasan PKR pun saya yakin Izzah mampu mendahului.”