Pesalah seks kanak-kanak mesti dipenjara, kata aktivis

Pesalah seks kanak-kanak mesti dipenjara, kata aktivis

Pengasas bersama Yayasan Chow Kit Dr Hartini Zainudin berkata hukuman penjara mandatori boleh menghalang pesalah berpotensi dan bertindak sebagai ukuran keadilan bagi mangsa.

Seorang Ahli Parlimen dan pekerja sosial berkata hukuman penjara mandatori untuk kesalahan seksual terhadap kanak-kanak akan memberi kesan lebih besar. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis dan bekas Ahli Parlimen menggesa hukuman penjara mandatori bagi pesalah seksual kanak-kanak.

Gesaan mereka menyusul kebimbangan terhadap hukuman denda ke atas seorang lelaki disabitkan kesalahan merakam video tidak senonoh anak tirinya.

Pengasas bersama Yayasan Chow Kit, Dr Hartini Zainudin, berkata hukuman penjara dapat menghalang pelaku berpotensi dan bertindak sebagai ukuran keadilan buat mangsa.

“Denda semata-mata mungkin tidak cukup untuk mencegah ulang lakuan kesalahan dalam kes serius sebegini. Hukuman lebih tegas, termasuk penjara mandatori boleh menjadi pencegah dan mengukuhkan kecaman masyarakat terhadap perbuatan sedemikian,” katanya kepada FMT.

Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, yang juga pengerusi bersama Ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia, berkata hukuman penjara akan memberi impak lebih besar dan “tentu dapat membantu mengurangkan jumlah kes”.

Katanya, pemenjaraan dianggap memalukan “dan orang ramai sangat menyedarinya”.

Komen Hartini dan Santiago menyusul gesaan untuk hukuman lebih berat dikenakan ke atas seorang lelaki 56 tahun yang didenda RM6,000 di Muar baru-baru ini kerana merakam dan memiliki video serta gambar bogel anak tirinya berusia 15 tahun.

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Setiausaha Agung MCA, Dr Pamela Yong menyifatkan denda itu “penghinaan terhadap keadilan” dan tidak mencerminkan keseriusan jenayahnya.

Kemudian, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, turut menggesa hukuman lebih berat kerana ia bukan saja memberikan keadilan kepada mangsa, tetapi juga menghalang orang lain melakukan jenayah sama.

Santiago berkata, daftar pesalah seksual sepatutnya boleh diakses secara umum supaya bakal majikan dan orang lain boleh menyemaknya secara bebas.

“Apabila ia terbuka untuk dilihat umum, tiada siapa yang mahu berada dalam senarai itu.”

Beliau berkata, institut latihan perguruan perlu mempunyai modul melatih pendidik mengenal pasti tanda penderaan seksual dan menyampaikan pengetahuan ini dengan berkesan kepada pelajar.

“Kesedaran perlu dibuat secara menyeluruh. Kanak-kanak sepatutnya dapat mengesan tanda-tanda keganasan seksual dan apabila privasi mereka dicabuli.

“Maklumat seperti ini perlu disediakan untuk kanak-kanak di sekolah, rumah, tempat ibadah dan mana-mana tempat orang berkumpul.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.