
Kementerian Kewangan dalam kenyataan, memaklumkan penerima layak akan menerima bantuan sehingga RM2,100, meningkat sebanyak 75%, berbanding RM1,200 pada 2024.
“Sara merupakan pendekatan bantuan secara bersasar, dengan sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.
“Penyaluran Sara melalui MyKad juga bersasar kerana kaedah tersebut memastikan golongan sasar menerima manfaatnya dalam bentuk barangan asas,” kata perdana menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim dalam kenyataan sama.
Beliau berkata, peluasan ini adalah sebahagian daripada peningkatan peruntukan program sumbangan tunai Rahmah (STR) dan Sara kepada RM13 bilion pada tahun ini, jumlah tertinggi dalam sejarah penyaluran bantuan tunai kerajaan kepada rakyat.
Sementara itu, 4.7 juta penerima STR yang tidak tersenarai dalam eKasih akan menerima bantuan baharu Sara RM50 sebulan bagi warga emas tiada pasangan dan RM100 sebulan untuk isi rumah bermula 1 April ini.
Mulai tahun ini, penyaluran Sara melalui MyKad akan diperluaskan ke Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan setelah sebelum ini hanya melibatkan negeri di Semenanjung pada 2024.
“Kaedah pelaksanaan yang seragam ini adalah penambahbaikan daripada tahun lepas, berbanding penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima SARA yang bermastautin di Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan,” menurut kenyataan itu.
Di bawah program Sara, penerima boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 3,500 buah di seluruh negara, berbanding 700 buah pada 2024.
Selain makanan asas, kredit Sara juga boleh digunakan untuk membeli barangan kebersihan diri, ubat-ubatan, serta peralatan persekolahan.
Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan SARA boleh didapati melalui portal rasmi STR di https://bantuantunai.hasil.gov.my dan portal MyKasih di https://www.mykasih.com.my.