Gempa bumi susulan landa Myanmar

Gempa bumi susulan landa Myanmar

Gempa bumi susulan magnitud 5.1 berlaku sehari selepas gempa bumi kuat yang mengorbankan lebih 1,000 orang.

Gempa bumi susulan itu berlaku pada kedalaman 10km dan menjejaskan banyak kawasan yang sudah teruk terkesan akibat gempa bumi besar di Myanmar pada Jumaat. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Myanmar dilanda gempa bumi susulan dengan magnitud 5.1 pada Sabtu, sehari selepas gempa bumi kuat menggegarkan beberapa negara jiran, mengorbankan lebih 1,000 orang.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gegaran terbaharu itu berlaku berhampiran Pyinmana, kira-kira 24km dari Nay Pyi Taw, pada kira-kira 2.50 petang waktu tempatan, dengan gegaran dirasai di Laos, Thailand dan beberapa bahagian di China.

Gempa bumi susulan itu berlaku pada kedalaman 10km dan menjejaskan banyak kawasan yang sudah teruk terkesan akibat gempa bumi besar pada Jumaat.

NDTV World, memetik USGS, melaporkan bahawa rantau itu telah mengalami sekurang-kurangnya 12 gempa susulan sejak gempa bumi besar pertama berhampiran Sagaing, dengan magnitud antara 2.8 hingga 7.5.

Setakat ini, kesan penuh kemusnahan serta kemungkinan pertambahan korban akibat gempa bumi susulan terbaharu masih belum dapat dipastikan, sementara operasi mencari dan menyelamat serta bantuan terus dijalankan, menurut NDTV World.

Xinhua melaporkan Mandalay, Bago, Magway, timur laut Shan, Sagaing dan Nay Pyi Taw sebagai kawasan paling teruk terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.