
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) berkata, pihaknya memandang serius tarif 24% itu dan akan berbincang secara aktif dengan pihak berkuasa AS bagi mencari penyelesaian yang mendukung perdagangan bebas dan adil.
Miti bagaimanapun yakin ekonomi akan kekal berdaya tahan, dengan permintaan domestik menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
“Pusat Kawalan Geoekonomi Kebangsaan (NGCC) yang diluluskan Jemaah Menteri baru-baru ini akan menilai kesan pengumuman AS ini dan mempertimbangkan strategi menyeluruh serta pelbagai serampang bagi mengurangkan kesan tarif ini ke atas ekonomi dan industri negara.
“Kerajaan sedang berbincang dengan industri terjejas sambil meneroka program sokongan bagi membantu perniagaan menyesuaikan diri. Miti kekal komited kepada dialog terbuka dan kerjasama bagi menyelesaikan pertikaian perdagangan serta menggalakkan kemakmuran bersama,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, NGCC akan dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan, dengan Miti sebagai sekretariatnya.
Ia berkata, NGCC akan memastikan ekonomi negara kekal berdaya saing dalam keadaan tidak menentu.
Katanya, ia akan memanfaatkan Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan Malaysia dengan AS untuk meraih manfaat perdagangan timbal balik sambil meneruskan perjanjian perlindungan teknologi dengan Washington.
Ini bagi membolehkan kerjasama teknologi tinggi antara kedua-dua negara, khasnya dalam bidang semikonduktor, aeroangkasa dan ekonomi digital.
“Walaupun mengalami defisit perdagangan dalam barangan, AS menikmati lebihan perdagangan dalam perkhidmatan dengan Malaysia, mencerminkan hubungan ekonomi dua hala kukuh yang menyokong pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara.
“Perlu ditegaskan defisit perdagangan dengan AS juga disebabkan banyak syarikat AS beroperasi di Malaysia selama beberapa dekad disebabkan ekosistem perindustrian Malaysia yang mantap, khasnya dalam sektor E&E.”
Untuk mengurangkan kesan tarif, Miti berkata, Malaysia akan mengembangkan pasaran eksportnya melalui perjanjian perdagangan bebas sedia ada, dengan keutamaan dalam sektor pertumbuhan tinggi.
Menurutnya, perkongsian baharu juga akan dijalin dalam Asean, manakala dasar perindustrian utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara akan dipercepatkan untuk meningkatkan daya tahan rantaian bekalan Malaysia.
“Malaysia berdepan cabaran ini dalam kedudukan kukuh dan bersiap sedia. Asas ekonomi kita kekal teguh.
“Dalam masa terdekat, walaupun persekitaran luaran mungkin mencabar, pasaran dan produk kita yang pelbagai, bersama permintaan kukuh untuk produk kita akan memberikan beberapa penampan.”