
Perkara tersebut dinyatakan oleh Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) dalam laporan ‘2025 National Trade Estimate Report on Foreign Trade Barriers’, yang antara lain menonjolkan ‘halangan ketara’ kepada eksport AS, pada 31 Mac lalu.
AS mengenakan tarif timbal balik 24% ke atas import dari Malaysia berkuat kuasa 9 April, menurut perintah eksekutif yang ditandatangani Presiden Donald Trump semalam.
Trump berkata langkah ini diambil kerana terdapat ketidakseimbangan dalam hubungan perdagangan dua hala AS, termasuk kadar tarif yang berbeza, sekatan bukan tarif, serta dasar ekonomi negara-negara rakan dagang yang didakwa menekan gaji domestik dan penggunaan dalam negara.
Berhubung syarat import halal Malaysia, USTR secara khusus menarik perhatian kepada syarat yang menetapkan bahawa kilang penyembelihan perlu memiliki kemudahan khusus bagi pengeluaran halal, dan memastikan kemudahan penyimpanan dan pengangkutan yang berasingan bagi produk halal dan tidak halal.
Menurutnya, amalan antarabangsa yang berkaitan sebaliknya membenarkan makanan halal disediakan, diproses, diangkut, dan disimpan menggunakan kemudahan-kemudahan yang sebelum itu digunakan bagi makanan tidak halal, dengan syarat tatacara pembersihan menurut Islam dipatuhi.
“Industri AS telah menyatakan kebimbangan mengenai kos mewujudkan kemudahan pengeluaran yang baharu dan berasingan untuk mengakses pasaran Malaysia,” menurut laporan.
USTR turut menyifatkan syarat-syarat halal Malaysia lebih preskriptif berbanding amalan-amalan antarabangsa yang berkaitan.
USTR merupakan agensi persekutuan AS yang bertanggungjawab untuk membangunkan dan mempromosi dasar perdagangan asing AS, serta sebahagian daripada Pejabat Eksekutif Presiden AS.