
Timbalan Ketua Polis SPS Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata hasil siasatan daripada video tular itu, pihaknya mengenal pasti tujuh pelajar termasuk mangsa yang terlibat, lapor Bernama.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku akibat ejek-mengejek antara pelajar dan setakat ini tiada laporan polis dibuat.
“Bagaimanapun, polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki berkata siasatan terperinci mengenai kejadian itu sedang dijalankan dan pelajar terbabit digantung persekolahan supaya tidak mengganggu siasatan.
Asyraf berkata, Mara akan mengambil tindakan tegas termasuk membuang pelajar terbabit daripada institusi itu jika didapati terlibat aktiviti buli.
“Tiada tempat untuk pembuli atau yang cuba membudayakan buli dalam apa jua bentuk di MRSM,” katanya.
Hari ini, tular video berdurasi satu minit 32 saat memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil, selain turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung.