
Zarmayade Abdullah, 49, berjaya dalam rayuan untuk mengurangkan hukuman penjara terhadapnya namun gagal membatalkan sabitan membunuh.
Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel tiga hakim, ketika menyampaikan keputusan mengekalkan sabitan Zarmayade berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan tidak tersilap dalam mensabitkannya.
“Berdasarkan bukti keseluruhan, sabitan kekal dan rayuan terhadap sabitan ditolak,” kata Tengku Maimun yang bersidang bersama Rhodzariah Bujang dan Hanipah Farikullah.
Bagaimanapun, mahkamah menerima rayuan Zarmayade berhubung tempoh hukuman dan mengurangkan hukuman penjara 40 tahun kepada 35 tahun.
Hukumannya bermula dari tarikh ditangkap pada 16 April 2017.
Mahkamah bagaimanapun mengekalkan 12 sebatan dikenakan Mahkamah Rayuan terhadap Zarmayade.
Pada 22 Dis 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati terhadap Zarmayade selepas mendapatinya bersalah membunuh Rokiah Mamat, 61, di sebuah rumah di Kampung Mengkebang, Jalan Batu Lada di Kuala Krai, Kelantan, antara 11 pagi dan 3 petang, 12 April 2017.
Warga emas itu ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa oleh anaknya yang pulang ke rumah mereka pada sebelah petang.
Pada 24 Ogos 2023, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan kesalahannya tetapi menggantikan hukuman mati kepada penjara 40 tahun penjara dan 12 sebatan. Zarmayade kemudian membawa kesnya ke Mahkamah Persekutuan.
Peguam Ahmad Nizam Mohamed dan Firdaus Mohd Yusoff mewakili Zarmayade pada prosiding hari ini manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari bagi pihak pendakwaan.