Tak mustahil harga iPhone RM16,000, kata menteri

Tak mustahil harga iPhone RM16,000, kata menteri

Tengku Zafrul Aziz berkata kos iPhone sebelum tarif USD549.73 dan mungkin mencecah USD1,346.84 selepas dikenakan tarif 145%.

iPhone
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan harga iPhone boleh mencecah USD3,500 iaitu kira-kira RM15,740, hampir tiga kali ganda harga semasa jika Apple memindahkan operasi pengeluarannya dari China ke AS. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz berkata tidak mustahil harga telefon pintar iPhone boleh mencecah RM16,000, jika Amerika Syarikat (AS) melaksanakan tarif timbal balik ke atas semua negara.

Ini kerana, katanya, komponen pembuatan iPhone datang dari seluruh dunia, iaitu cip dari Taiwan, skrin dari Korea, bateri dari China, modem dan memori dari AS, storan dari Jepun dan kamera dari pelbagai negara yang akhirnya dipasang di China.

Beliau berkata, kos iPhone sebelum tarif USD549.73 (kira-kira RM2,427) dan mungkin mencecah USD1,346.84 (kira-kira RM5,946) selepas dikenakan tarif 145%.

Menurutnya, jika dihasilkan sepenuhnya di AS, ada yang mengatakan ia boleh mencecah USD3,500 atau RM16,000.

“Bila harga naik di AS, negara lain pun terkesan. Ini sebab harga iPhone global biasanya ikut harga AS.

“Terkini, AS sudah beri pengecualian kepada komponen telefon pintar dan komputer, khususnya dari China. Legalah sekejap peminat-peminat iPhone.

“Tapi pengecualian ini pun kita tak tahulah sampai bila. Bila-bila masa sahaja, Trump boleh naikkan balik tarif,” katanya dalam klip video di Facebooknya.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan harga iPhone boleh mencecah USD3,500, iaitu kira-kira RM15,740, hampir tiga kali ganda daripada harga semasa, jika Apple memindahkan operasi pengeluarannya dari China ke AS.

Ia sebahagian dasar tarif baharu diumumkan Donald Trump yang mengenakan cukai import 104% ke atas barangan China.

Sabtu lalu, AS dilapor mengecualikan telefon pintar, skrin komputer, cip dan komponen elektronik daripada tarif, serta semua barangan elektronik dieksport ke negara itu.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia merupakan komponen penting rantaian bekalan dunia, dengan semikonduktor antara eksport utama negara.

Beliau memberi contoh ketika Covid-19, kilang kenderaan Ford terpaksa menghentikan operasi kerana tidak mendapat bekalan cip dari Malaysia.

“Cip itu kecil saja tapi bila tak ada, kilang besar pun tidak boleh jalan.”

Beliau berkata, semua negara saling bergantung dan tiada sebuah negara pun yang boleh melakukannya bersendirian.

“Tarif ini seperti kesesakan. Semua tersekat. Daripada pengeluar, pengguna sampailah pelabur. Perdagangan terbuka penting, terutamanya untuk negara perdagangan seperti Malaysia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.