Pupuk semula kepercayaan, Petronas dan Petros diberitahu susulan dakwaan ‘pengintipan’

Pupuk semula kepercayaan, Petronas dan Petros diberitahu susulan dakwaan ‘pengintipan’

Ketua PN Sarawak Jaziri Alkaf Abdillah Suffian kata salah laku sebegitu, jika terbukti benar, pasti akan menjejaskan rundingan ‘berkepentingan tinggi’ yang sedang berjalan.

petronas petros
Ketua Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf Abdillah Suffian gesa Petronas dan Petros kekalkan saluran komunikasi terbuka, berdialog secara kerap dan terus terang.
PETALING JAYA:
Seorang ahli politik menggesa Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) memupuk semula rasa saling mempercayai susulan pendakwaan seorang bekas pengurus syarikat minyak negara atas tuduhan membocorkan maklumat sulit kepada syarikat Sarawak itu.

Jumaat lalu, Khairul Akmal Jasni, 40, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan cuba membocorkan kepada Petros suatu dokumen perniagaan diperoleh semasa menjalankan tugasnya, pada Jun 2024.

Jaziri Alkaf Abdillah Suffian.

“Sekiranya dakwaan pengintipan korporat ini berasas, ada sebab untuk percaya ia akan memburukkan rasa saling tidak percaya sedia ada dalam rundingan yang berkepentingan tinggi (antara kedua-dua syarikat),” kata Ketua Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf Abdillah Suffian kepada FMT.

Jaziri berkata proses undang-undang yang menganggap seseorang tertuduh tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, mesti diberi ruang sehingga selesai.

“Kita hanya akan dapat memastikan fakta-fakta dan mengurangkan sebarang bahaya jangka panjang yang tidak wajar ke atas kepercayaan antara pihak berkenaan melalui penyiasatan yang saksama dan teliti.”

Beliau bagaimanapun menegaskan kepercayaan antara Petronas dan Petros ‘bergantung pada kelakuan beretika, ketelusan, dan rasa saling hormat-menghormati’.

“Memulihkan kepercayaan dalam hubungan, terutama antara Petronas dan Petros yang secara strategiknya begitu penting, memerlukan langkah-langkah yang cermat, telus, dan membina,” katanya kepada FMT.

Jaziri menggesa Petronas dan Petros mengekalkan saluran komunikasi terbuka dan berdialog secara kerap dan terus terang.

Beliau juga menggesa kedua-dua syarikat itu untuk mengambil ‘langkah-langkah memupuk keyakinan’ untuk menggalakkan ketelusan, termasuk melalui jawatankuasa bersama melibatkan pakar-pakar bebas.

“Sebarang salah laku yang disahkan berlaku harus segera dijawab dengan tindakan undang-undang sesuai,” katanya sambil menambah langkah itu akan menyakinkan pemegang taruh dalam penolakan amalan tidak beretika

Khairul didakwa mengikut Seksyen 203A(1) dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan, boleh didenda minimum RM1 juta, atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya.

FMT telah menghubungi Petros bagi mendapatkan komen berhubung perkara itu.

MA63

Jaziri berkata tidak patut ada kompromi tentang mendapatkan hak Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). “Ini batu asas identiti dan autonomi Sarawak.”

Bagaimanapun, beliau berkata ada hujah-hujah untuk mendorong Petros ‘mengalihkan tumpuan buat sementara waktu daripada mendapatkan kuasa tambahan di bawah perjanjian itu’.

Jaziri berkata Petros patut mengagihkan semula sumber ke arah memanfaatkan aset yang baharu diperolehi, melalui inisiatif meningkatkan kekuatan operasi.

“Ini boleh dilakukan dengan menyalurkan pelaburan ke dalam teknologi canggih untuk memperkemas operasi dan mengurangkan ketidakcekapan, seperti melalui alat transformasi digital, penyelesaian berasaskan tenaga boleh diperbaharui, platform analisis data,” katanya.

Beliau juga menyeru kerajaan Sarawak agar ‘lihat melangkaui faedah setempat’ dan bekerjasama dengan Petronas untuk memberi manfaat kepada negara dengan menyelaraskan aspirasi negeri dan negara.

“Pendekatan yang selaras mungkin akan mentakrifkan semula apa yang dimaksudkan dengan memacu pembangunan negeri dan negara secara serentak,” katanya, susulan gangguan ke atas rantaian bekalan global yang disebabkan oleh tarif Trump, perang perdagangan, dan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi.

“Petros dan kerajaan Sarawak boleh memastikan usaha sama bersama berjalan lancar, sebagai asas kepada strategi mengangkat kebajikan masyarakat, memacu kemajuan teknologi dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam arena tenaga global,” kata Jaziri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.