Guru ‘mengadu’ tiada dewan di sekolah kepada Sultan Pahang

Guru ‘mengadu’ tiada dewan di sekolah kepada Sultan Pahang

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap Kementerian Pendidikan usaha menyelesaikan masalah itu.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menerima ‘aduan’ daripada guru SK Bukit Bota berhubung ketiadaan dewan di sekolah itu pada program Kembara Pahang 1.0. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
“Daulat Tuanku, SK Bukit Bota nak dewan. Kami tiada dewan.” Itulah ayat tertulis pada sebuah kad kotak dalam gambar memaparkan guru sekolah terbabit bersama Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Facebook rasmi Istana Pahang, Kesultanan Pahang memuat naik gambar gelagat guru terbabit yang dirakam dalam program Kembara Pahang 1.0, iaitu program khas Al-Sultan Abdullah ke setiap daerah untuk melihat permasalahan rakyatnya.

“Guru-guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Bota tidak melepaskan peluang menyampaikan aduan kepada Sultan Pahang berkenaan ketiadaan dewan di sekolah mereka yang turut menjadi satu keperluan penting.

“Paduka Baginda berharap pihak berkaitan iaitu Kementerian Pendidikan dapat mengusahakan permohonan tersebut,” tulisnya.

Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menari bersama kanak-kanak Orang Asli di Chenor. (Gambar Facebook)

Portal rasmi Istana Pahang pula melaporkan Al-Sultan Abdullah bertitah pelbagai aduan diterima daripada rakyat terutama berkaitan kemudahan jalan raya perlu dinaik taraf sepanjang program berlangsung dari Isnin hingga semalam.

“Semua (aduan) ini saya akan buat nota saya,” titahnya.

Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan menyertai program Kembara Pahang 1.0.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.