
Ahli Parlimen Labuan itu baru-baru ini menegaskan, kerusi berkenaan kekal ‘status quo’ dan beliau masih ada dua lapisan mahkamah, iaitu Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, untuk mempertahankan haknya.
Kiandee mempersoalkan tindakan Suhaili yang seolah-olah cuba mendahului Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.
“Dia speaker? Yang Ahli Parlimen Labuan kata status quo tu keputusan siapa? (Suhaili) buat keputusan mendahului speaker?” katanya kepada FMT.
Mengulas lanjut, Kiandee berkata beliau sudah menerima surat balas daripada Johari hari ini yang turut mengesahkan penerimaan notis dihantarnya sebelum ini.
“Johari memaklumkan akan meneliti dan membuat keputusan terhadap notis saya,” katanya.
Isnin lalu, Kiandee menghantar surat kepada Johari memohon kerusi Labuan diisytihar kosong selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan writ saman dan penyata tuntutannya terhadap Bersatu.
Katanya, alasan speaker untuk tidak mengosongkan kerusi itu sebelum ini tidak lagi relevan mahupun terpakai.
Bagaimanapun, Suhaili dilaporkan berkata kerusi terbabit kekal ‘status quo’ kerana beliau masih boleh rayu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selepas namannya ditolak.
Katanya, rayuan sudah difailkannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Jika saya kalah di Mahkamah Persekutuan, maka saya letak jawatan (sebagai Ahli Parlimen),” katanya.
Pada 11 Julai tahun lalu, Johari dilapor memaklumkan dalam surat kepada Kiandee bahawa beliau tidak mahu merosakkan kepentingan pihak sedang berbicara dalam kes mahkamah, susulan tindakan Suhaili menyaman Bersatu.