
Beliau berkata Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif terpaksa menangguhkan lawatan rasminya ke Malaysia, yang dijadualkan Jumaat ini, susulan ketegangan semakin memuncak.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan untuk siasatan bebas dan telus bagi mengenal pasti dalang sebenar serangan itu.
“Saya turut menyatakan kesediaan Malaysia memainkan peranan ke arah meredakan ketegangan sekiranya diperlukan. Hubungan baik Malaysia dengan Pakistan dan India adalah aset penting yang boleh dimanfaatkan demi keamanan dan kestabilan serantau,” katanya dalam catatan Facebook.
Seramai 26 maut dalam serangan di sebuah pusat pelancongan di Kashmir 22 April lalu, dengan Perdana Menteri India Narendra Modi berikrar mengesan mereka yang menyokong serangan itu.
Pakistan menafikan pembabitan dalam serangan itu, tetapi bertukar-tukar sindiran diplomatik dan pengusiran dengan India, manakala pintu sempadan kedua-dua negara ditutup.
Pasukan pertahanan kedua-dua negara dilaporkan berbalas tembakan selama sembilan malam berturut-turut di sepanjang garisan kawalan tentera susulan insiden itu.
Pakistan dan India menuntut Kashmir, wilayah majoriti Muslim dengan kira-kira 15 juta penduduk, di mana tiga peperangan tercetus sejak kedua-dua negara berpisah pada 1947.