
Semakan FMT di laman sesawang pemilihan PKR mendapati setakat 3.45 petang, hanya Anwar menawarkan diri bertanding jawatan itu.
Anwar mula menjadi presiden PKR, tujuh tahun lalu yang menjadi detik bersejarah dengan mengetuai parti diasaskannya pada 1998 di era reformasi.
Beliau mempertahankan kedudukannya itu dua tahun lalu, sekali lagi tanpa dicabar.
Ketika ditemui media selepas solat Jumaat di Presint 9, Putrajaya, Anwar secara berseloroh memberitahu belum mendaftar bagi pemilihan PKR.
“Saya tak daftar lagi, presiden masih kosong…saya isi kemudian,” katanya ringkas kepada media.
Ketiadaan pertandingan bagi jawatan presiden mungkin menyaksikan tumpuan beralih ke jawatan nombor dua yang kini disandang Rafizi Ramli.
Rafizi yang akan mempertahankan jawatan itu dicabar Naib Presiden Nurul Izzah Anwar.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendapat sokongan banyak bahagian PKR di seluruh negara.
Pimpinan seperti Naib Presiden Amirudin Shari, Ketua Wanita Fadhlina Sidek dan Ketua Pemuda Adam Adli turut menyatakan sokongan secara terbuka.
Pemilihan PKR akan berlangsung pada 23 Mei depan sempena kongresnya di Johor Baharu.