PRN Sabah: PH turut buka ruang kerjasama parti lain

PRN Sabah: PH turut buka ruang kerjasama parti lain

PH Sabah yang bergabung dengan BN mahu kestabilan serta keharmonian hubungan Putrajaya-negeri dikekalkan.

Ewon Benedick Phoong Jin Zhe Mustapha Sakmud Lahirul Latigu
Pemimpin PH Sabah (dari kiri) Ewon Benedick, Phoong Jin Zhe, Mustapha Sakmud dan Lahirul Latigu berkata kerjasama BN adalah rasional kerana menjadi tunjang pentadbiran Putrajaya bersama negeri.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) mahu kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) pada PRN Sabah turut terbuka dengan parti lain dalam mengekalkan hubungan baik kerajaan negeri dan pusat.

PH Sabah berkata, kerjasama BN disifatkan rasional kerana menjadi tunjang pentadbiran Putrajaya bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain.

Namun, gabungan itu menekankan ia turut terbuka untuk perbincangan dengan parti lain mendukung perpaduan dan kerjasama dalam membangunkan Malaysia.

“PH Sabah yakin kestabilan politik di kerajaan persekutuan dan Sabah serta hubungan harmoni dan baik perlu dikekalkan serta diperkasakan bagi memastikan aspirasi penubuhan Persekutuan Malaysia dan masa depan rakyat Sabah dapat dijayakan.

“PH Sabah terbuka untuk memupuk perpaduan serta kerjasama dengan parti lain dan berpandangan kerjasama parti politik itu harus berpandukan kepada membangunkan dasar berorientasikan kepentingan rakyat dan masa depan Sabah,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Upko Ewon Benedick, Ketua DAP Sabah Phoong Jin Zhe, Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud dan Ketua Amanah Sabah Lahirul Latigu.

Ketika ini BN dan PH berada di blok berbeza dalam pentadbiran Sabah walaupun kedua-duanya bersama membentuk kerajaan perpaduan di pusat.

PH menjadi sebahagian pentadbiran negeri diketuai GRS pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor manakala BN berada di blok pembangkang.

Sebelum ini, BN menolak bekerjasama dengan GRS pada PRN yang perlu diadakan selewat-lewatnya 60 hari selepas penggal DUN Sabah tamat November depan.

Terdahulu, Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan kerjasama BN dan PH pada PRN Sabah.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat antara Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Zahid Hamidi, semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.