Lembaga Padi dan Beras Sabah dilancar semula, tingkat tahap sara diri

Lembaga Padi dan Beras Sabah dilancar semula, tingkat tahap sara diri

Pengeluaran beras tempatan hanya sumbang 22.8% daripada keperluan Sabah, sekali gus menjurus kebergantungan tinggi kepada import.

Jeffrey Kitingan
Timbalan Ketua Menteri I Jeffrey Kitingan mewakili ketua menteri pada majlis pelancaran Lembaga Padi dan Beras Sabah, di Kota Belud. (Gambar kerajaan Sabah)
PETALING JAYA:
Kerajaan Sabah melancarkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) bagi mencapai sasaran tahap sara diri makanan sebanyak 30% menjelang tahun depan dan 60% pada 2030.

Ketua Menteri Hajiji Noor, berkata pewujudan semula LPBS akan memperkukuh inisiatif negeri untuk memastikan bekalan makanan tempatan mencukupi keperluan rakyat dan mengurangkan kebergantungan terhadap beras import.

“Pada masa ini, pengeluaran beras tempatan hanya menyumbang sekitar 22.8% daripada keperluan Sabah, sekali gus mewujudkan kebergantungan tinggi kepada import,” katanya menurut Bernama pada majlis pelancaran LPBS dan Skim Takaful Penanaman Padi Agrobank, di Kota Belud.

Ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri I Jeffrey Kitingan yang juga menteri pertanian, perikanan dan industri makanan Sabah.

Hajiji menjelaskan, LPBS akan mengambil alih semua aspek pembangunan dan pengurusan tanaman padi daripada Jabatan Pertanian negeri mulai tahun ini, serta akan berperanan sebagai badan pengawal selia bagi kedua-dua aspek tersebut.

Bagi meningkatkan tahap sara diri, kerajaan akan memfokuskan pembangunan tanaman padi di enam daerah iaitu di Kota Marudu, Tuaran, Tambunan, Keningau, Papar, dan Kota Belud, merangkumi 22,218.35 hektar dengan 16,018 penanam padi terlibat.

Selain itu, kerajaan juga menggalakkan penanaman padi bukit di tanah tinggi.

“Sebanyak 13,266 hektar tanah bukit sesuai untuk padi bukit melibatkan 15,617 petani. Jika dibangunkan sepenuhnya, ia mampu menjana 30,424 tan metrik setahun,” katanya.

Seperti Sarawak terkenal dengan beras Bario, Hajiji berkata Sabah mempunyai varieti padi bukit tersendiri seperti beras Adan dari Long Pasia dan kawasan Ranau, Kudat serta Pitas yang semakin mendapat tempat di pasaran tempatan.

“Kerajaan negeri komited membangunkan tanah sawah terbiar dan meningkatkan pengeluaran padi serta beras tempatan,” tambahnya, sambil menggesa syarikat berkaitan kerajaan memanfaatkan tanah terbiar untuk tujuan sama.

Dalam majlis sama, beliau mengajak petani memanfaatkan Skim Takaful Penanaman Padi Agrobank, yang melindungi tanaman mereka daripada kerosakan akibat bencana alam, serangan perosak, dan penyakit.

Skim ini terbuka kepada petani warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang berdaftar di bawah skim baja kerajaan persekutuan dan memiliki akaun Agrobank.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.