JPP sangkal dakwaan Rafizi ratusan aduan tak dijawab

JPP sangkal dakwaan Rafizi ratusan aduan tak dijawab

Timbalan Pengerusi JPP Ahmad Kasim berkata timbalan presiden sepatutnya lebih tahu peraturan dan proses aduan.

ahmad kassim
Ahmad Kasim, yang mengetuai Biro Adun, berkata segala perkembangan mengenai pemilihan parti dilaporkan kepada MPP.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) nafi dakwaan Timbalan Presiden Rafizi Ramli mengenai ratusan bantahan difailkan ahli pada pemilihan bahagian tidak dijawab.

Timbalan Pengerusi JPP Ahmad Kasim, berkata dakwaan Rafizi itu adalah tidak benar dan amat dikesali. Katanya, setiap aduan dan bantahan diterima diberi perhatian serius serta ditangani secara profesional, adil, dan mengikut lunas peraturan.

Ahmad, yang mempengerusikan jawatankuasa Biro Aduan, berkata peraturan pemilihan parti telah diluluskan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 23 Feb 2025 dan disahkan Biro Politik pada 3 Mac.

Rafizi menganggotai kedua-dua badan pembuat keputusan itu, kata Ahmad.

“Peraturan ini secara jelas menetapkan bahawa setiap bantahan atau rayuan hendaklah disertakan dengan bukti mencukupi, dan beban pembuktian terletak pada pihak mengemukakan bantahan atau rayuan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

“Sejumlah 289 bantahan dan aduan telah diterima merangkumi pelbagai peringkat proses, termasuk pencalonan, bantahan terhadap pencalonan, rayuan, pemuktamadan senarai calon, kempen, dan proses pengundian.”

Katanya, semua aduan telah diteliti cermat dan sebahagiannya telah dirujuk kepada pejabat setiausaha agung serta Lembaga Disiplin untuk tindakan lanjut berdasarkan bidang kuasa masing-masing.

Semalam, Rafizi mendakwa Pengerusi JPP Dr Zaliha Mustafa tidak menjawab ratusan bantahan difailkan ahli dan panel berkenaan hanya mula melihat bantahan selepas pemilihan selesai.

Beliau juga mendakwa ahli akar umbi yang mengemukakan aduan tidak diendahkan JPP.

Ahmad berkata, pihak jawatankuasa juga meneliti bantahan keputusan pengundian selepas tamat pemilihan peringkat bahagian, sambil memberi contoh pemilihan semula enam bahagian.

Katanya, segala perkembangan penting berkaitan pemilihan parti telah dilaporkan secara berkala kepada MPP, dan mustahil untuk perkara ini tidak berada dalam pengetahuan mana-mana anggota termasuk Rafizi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.